Jumaat, 14 Februari 2020 | 8:47am
FOTO hiasan.

Kebakaran di Australia berjaya dikawal buat pertama kali

SYDNEY : Kebakaran di negeri paling padat penghuni di Australia berjaya dikawal buat kali pertama dalam tempoh hampir enam bulan, kata pihak berkuasa hari ini, serentak dengan kehadiran hujan lebat yang sedikit sebanyak turut membantu anggota bomba memadamkan api.

Australia berdepan ratusan kebakaran sejak September dalam musim panas luar biasa yang diburukkan lagi oleh kemarau selama tiga tahun, hasil perubahan suhu ekstrim.

Turut menerima bantuan daripada ribut yang melanda pantai timur Australia awal minggu ini, Perkhidmatan Bomba Luar Bandar (RFS) New South Wales (NSW) berkata, 24 kebakaran berjaya dikawal di seluruh negeri.

“Selepas berdepan apa yang disifatkan sebagai musim kebakaran paling teruk oleh anggota bomba dan penduduk setempat, kesemua kebakaran itu berjaya dikawal di NSW dan ia adalah satu berita baik,” kata Timbalan Pesuruhjaya RFS NSW, Rob Rogers kepada Perbadanan Penyiaran Australia.

Situasi semasa itu adalah jauh lebih baik berbanding ketika kemuncak krisis awal Januari lalu apabila anggota bomba NSW berdepan hampir 150 kebakaran yang membentuk jaluran sepanjang kira-kira 6,000 kilometer.

Kebakaran di seluruh Australia sejak September lalu itu memusnahkan hampir 12 juta hektar kawasan, meragut 33 nyawa dan mengorbankan kira-kira 1 bilion haiwan tempatan.

Ia turut memusnahkan ribuan kediaman dan memaksa perpindahan penduduk serta pelancong secara besar-besaran ketika kemuncak cuti musim panas di Australia.

Selain membantu anggota bomba, hujan lebat turut meningkatkan paras air di empangan seluruh NSW yang juga kediaman kepada lebih 7 juta penduduk.

Dengan hanya sedikit taburan hujan sejak tiga tahun lalu, beberapa bahagian di negeri itu hanya memiliki bekalan air minum untuk tempoh kurang daripada setahun, memaksa pihak berkuasa membawa masuk air bersih dari bahagian lain negara. - Reuters

Berita Harian X