Khamis, 13 Februari 2020 | 9:01am
Pesakit wabak coronavirus dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Wuhan, Hubei. - Foto REUTERS
Pesakit wabak coronavirus dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Wuhan, Hubei. - Foto REUTERS

Angka mangsa COVID-19 melonjak, pihak berkuasa tukar cara diagnosis

BEIJING: Angka korban dan kes jangkitan baharu wabak COVID-19 melonjak pada Khamis, dengan tambahan 242 kematian serta hampir 15,000 pesakit direkodkan di wilayah Hubei ketika pihak berkuasa menukar cara diagnosis.

Virus itu kini meragut sekurang-kurang 1,355 nyawa, manakala hampir 60,000 sudah dijangkiti di seluruh China selepas Suruhanjaya Kesihatan Hubei melaporkan bilangan terbaru itu.

Dalam maklumat kemas kini harian, Suruhanjaya Kesihatan Hubei turut mengesahkan 14,840 lagi kes jangkitan baharu.

Peningkatan besar itu direkodkan ketika pegawai tempatan memaklumkan bahawa mereka sedang menukar cara mendiagnosis kes COVID-19.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Hubei dalam satu kenyataan, pihaknya kini akan mengambil kira kes yang ‘didiagnosis secara klinikal’ ke dalam perangkaan rasmi.

Ini bermakna pengimejan paru-paru terhadap kes yang disyaki, boleh dianggap mencukupi untuk mendiagnosis virus terbabit, dan bukan ujian asid nukleik standard.

Berhubung peningkatan angka secara mendadak pada Khamis pula, katanya, klasifikasi baharu itu menyumbang 13,332 daripada kes berkenaan dan hanya separuh daripada jumlah kematian baharu.

Suruhanjaya itu berkata, perubahan berkenaan membolehkan pesakit menerima rawatan ‘seawal mungkin’ dan ‘konsisten’ dengan klasifikasi digunakan di wilayah lain.

Katanya, perubahan itu dilakukan ‘seiring peningkatan kefahaman kami mengenai radang paru-paru akibat coronavirus baharu itu, dan sejajar perkembangan kami mengumpulkan pengalaman dalam diagnosis serta rawatan.’ - AFP

Berita Harian X