Selasa, 11 Februari 2020 | 6:48am
2,097 kes dengan 103 kes baharu dicatatkan hari ini, akibat wabak coronavirus di wilayah Hubei, di China. - Foto AFP
2,097 kes dengan 103 kes baharu dicatatkan hari ini, akibat wabak coronavirus di wilayah Hubei, di China. - Foto AFP

Coronavirus: Angka kematian melonjak 1,016 orang

SHANGHAI: Angka kematian akibat novel coronavirus melonjak kepada 1,016 orang di seluruh China apabila 108 kes terbaharu dilaporkan hari ini.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China melaporkan, daripada 108 kematian yang direkodkan, 103 daripadanya di Hubei, wilayah yang terjejas teruk akibat penularan wabak berkenaan.

Kes jangkitan coronavirus juga terus meningkat kepada 42,638, dengan hampir 2,500 kes baharu dilaporkan.

Sementara itu, Suruhanjaya Kesihatan Wilayah Hubei mengesahkan sebanyak 31,728 kes dilaporkan sehingga semalam, iaitu dengan 3.07 kadar kematian dicatatkan.

Ia berkata masih ada sejumlah 16,687 kes yang disyaki. Semalam, dalam sehari wilayah itu berjanji untuk memeriksa semua orang yang disyaki mempunyai jangkitan coronavirus.

Virus baru dipercayai muncul, tahun lalu di pasaran yang menjual haiwan liar di Wuhan, iaitu bandar raya tempat bermulanya wabak itu.

Sejak coronavirus menular Disember lalu, jumlah korban wabak itu melepasi angka korban akibat Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2002/2003.

Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan pekerja perubatan dan pesakit yang terjejas di sebuah hospital di Beijing, semalam dengan meminta langkah yang lebih tegas untuk mengekang menyebarkan wabak itu, kata penyiar negeri CCTV.

Misi pakar antarabangsa mengenai coronavirus dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diketuai Bruce Aylward tiba di China, lewat petang semalam. Aylward berpengalaman menyelia kes wabak Ebola di Afrika Barat pada 2014-2016. - Reuters

Berita Harian X