Sabtu, 8 Februari 2020 | 8:20am
Kapal Diamond Princess berlabuh, dimana 10 orang lagi diuji positif untuk coronavirus pada hari Khamis, di Daikoku Pier Cruise Terminal di Yokohama, selatan Tokyo. - Foto REUTERS
Kapal Diamond Princess berlabuh, dimana 10 orang lagi diuji positif untuk coronavirus pada hari Khamis, di Daikoku Pier Cruise Terminal di Yokohama, selatan Tokyo. - Foto REUTERS

Jumlah penumpang dikuarantin atas kapal persiaran di Jepun bertambah

TOKYO : Puluhan individu lagi yang berada dalam sebuah kapal persiaran dikuarantin di pelabuhan Jepun selepas diuji positif dengan coronavirus semalam, manakala ribuan penumpang lain terkandas di dalam kabin masing-masing dan hanya dibenarkan keluar mengambil angin di atas dek.

Kapal Diamond Princess yang dikendalikan oleh Princess Cruise itu perlu menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu sebaik tiba di Yokohama Isnin lalu, apabila seorang lelaki yang turun di Hong Kong disahkan positif virus berkenaan.

Menteri Kesihatan Jepun, Katsunobu Kato dalam sidang media berkata, 41 individu yang menaiki kapal berkenaan disahkan positif semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 61, dengan 21 daripadanya membabitkan rakyat tempatan.

“Semua yang dijangkiti sudah dipindahkan ke hospital sekitar Tokyo dan pekan berhampiran dan kita turut menggantung tirai berwarna biru dan putih untuk memisahkan mereka daripada penumpang lain,” katanya.

Kapal Diamond Princess berkenaan yang lazimnya dinaiki 1,100 kru dan memiliki kapasiti penumpang seramai 2,670, menampung kira-kira 3,700 orang ketika berlabuh di Jepun.

Laman web Princess Cruise menggambarkan kapal itu sebagai ‘pengganti rumah anda’ dan kini, benar-benar menjadi kediaman untuk semua penumpang, sekurang-kurangnya sehingga 19 Februari.

Sumber kerajaan berkata, tempoh kuarantin itu akan dan boleh dilanjutkan jika keadaan memerlukan mereka berbuat demikian.

Pakar Darurat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Mike Ryan berkata, kemunculan kes baru akan memanjangkan tempoh kuarantin.

“Kita perlu mencari jalan untuk keluar dari keadaan ini dan menguruskan pesakit yang berada di atas kapal, bagi membolehkan orang ramai meninggalkan kapal ini mengikut jadual,” katanya. - Reuters

Berita Harian X