Jumaat, 7 Februari 2020 | 3:16pm
Antara individu di atas kapal Diamond Princess yang dikuarantin. - Foto Reuters
Antara individu di atas kapal Diamond Princess yang dikuarantin. - Foto Reuters
Kumpulan wartawan membuat liputan mengenai kapal Diamond Princess. - Foto Reuters
Kumpulan wartawan membuat liputan mengenai kapal Diamond Princess. - Foto Reuters

41 lagi individu dalam kapal persiaran positif coronavirus

TOKYO: Seramai 41 lagi individu dalam kapal persiaran berhampiran pantai Jepun disahkan positif coronavirus, kata Menteri Kesihatan Jepun, Katsunobu Kato, pada Khamis.

Katanya, kes baharu berkenaan menjadikan jumlah sekurang-kurang 61 individu disahkan dijangkiti coronavirus di atas kapal terbabit.

Pihak berkuasa Jepun sudah melakukan saringan terhadap 273 individu di atas kapal Diamond Princess yang dikuarantin selepas seorang bekas penumpang turun di Hong Kong pada bulan lalu disahkan positif virus terbabit.

“Keputusan untuk baki 171 ujian sudah keluar dan 41 disahkan positif.

“Mereka akan dihantar ke hospital di beberapa wilayah, hari ini, dan kita sedang melakukan persiapan.

“Secara keseluruhan, daripada 273 spesimen, 61 disahkan positif,” kata Kato kepada wartawan.

Kapal persiaran yang membawa lebih 3,700 penumpang dan anak kapal itu berada berhampiran pantai Jepun sejak petang Isnin lalu.

Ia berlabuh di Yokohama pada Khamis untuk mendapatkan bekalan semula bagi meneruskan kuarantin yang mungkin berterusan hingga 19 Februari depan.

Seramai 20 penumpang yang dikesan positif virus berkenaan sebelum ini sudah dibawa ke hospital. - AFP

Berita Harian X