Khamis, 6 Februari 2020 | 1:53pm
Di pelabuhan, pihak berkuasa dilihat mengenakan pakaian pelindung penuh berwarna putih, dilengkapi topeng muka dan helmet. - Foto AFP
Di pelabuhan, pihak berkuasa dilihat mengenakan pakaian pelindung penuh berwarna putih, dilengkapi topeng muka dan helmet. - Foto AFP

10 lagi penumpang kapal persiaran di Jepun positif coronavirus

TOKYO: Seramai 10 lagi individu dalam kapal persiaran di Jepun disahkan positif coronavirus, lapor media tempatan pada Khamis, menjadikan jumlah mereka yang dijangkiti di atas kapal itu kini mencecah 20 orang.

Pihak berkuasa Jepun sudah menjalankan saringan terhadap 273 individu daripada kira-kira 3,700 penumpang dan anak kapal itu selepas seorang lelaki yang turun dari kapal persiaran berkenaan di Hong Kong pada bulan lalu, disahkan positif jangkitan virus baharu terbabit.

Kes baharu terbabit dilaporkan ketika kapal Diamond Princess yang dikuarantin di bandar pelabuhan Yokohama sejak malam Isnin lalu, berlabuh bagi menambah bekalan dan mengeluarkan penumpang yang sakit.

Di pelabuhan itu, pihak berkuasa dilihat mengenakan pakaian pelindung penuh berwarna putih, dilengkapi topeng muka dan helmet.

Seramai 10 lagi individu dalam kapal persiaran Diamond Princess di Jepun disahkan positif coronavirus. - Foto AFP
Seramai 10 lagi individu dalam kapal persiaran Diamond Princess di Jepun disahkan positif coronavirus. - Foto AFP

Kapal Diamond Princess yang dikuarantin di bandar pelabuhan Yokohama sejak malam Isnin lalu, berlabuh bagi menambah bekalan dan mengeluarkan penumpang yang sakit. - Foto AFP
Kapal Diamond Princess yang dikuarantin di bandar pelabuhan Yokohama sejak malam Isnin lalu, berlabuh bagi menambah bekalan dan mengeluarkan penumpang yang sakit. - Foto AFP

Ketika berlabuh, penumpang yang dimaklumkan mungkin mereka perlu berada di atas kapal itu selama 14 hari walaupun didapati negatif coronavirus, keluar ke balkoni dengan ada yang melambai kepada media atau mengambil gambar.

Penumpang memaklumkan mereka keliru dan bosan selepas ditahan di kabin susulan keputusan pihak berkuasa Jepun untuk mengkuarantin kapal itu.

Setakat ini, Jepun mengesahkan 25 kes coronavirus, tidak termasuk jangkitan di kapal persiaran berkenaan, antara lain membabitkan warga Jepun yang pulang dari Wuhan, China.

Tokyo sudah memindahkan lebih 500 rakyat Jepun dari Wuhan, namun mendapat kritikan kerana melaksanakan langkah kuarantin yang longgar.

Beberapa insiden jangkitan dipercayai daripada manusia ke manusia dikesan di Jepun, termasuk seorang pemandu pelancong dan pemandu bas yang dijangkiti virus itu selepas membawa pelancong dari Wuhan.

Kedua-duanya tidak melakukan perjalanan ke China dalam beberapa bulan kebelakangan ini. - AFP

Berita Harian X