Khamis, 6 Februari 2020 | 10:34am
3,694 kes jangkitan baharu coronavirus dilaporkan berlaku meliputi 31 wilayah serta Kor Pengeluaran dan Pembinaan Xinjiang, China. - Foto Reuters
3,694 kes jangkitan baharu coronavirus dilaporkan berlaku meliputi 31 wilayah serta Kor Pengeluaran dan Pembinaan Xinjiang, China. - Foto Reuters

China kesan 3,694 kes jangkitan baharu coronavirus

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,694 kes jangkitan baharu coronavirus dilaporkan berlaku meliputi 31 wilayah serta Kor Pengeluaran dan Pembinaan Xinjiang, China, dengan 563 kes kematian direkodkan setakat semalam.

Perkembangan itu dimaklumkan Kedutaan China di Malaysia, menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 2,987 kes adalah di Hubei, wilayah yang paling teruk terkesan dengan jangkitan berkenaan.

Pada masa sama, kedutaan itu turut melaporkan beberapa perkembangan positif apabila sebanyak 261 kes dilaporkan pulih dan dibenarkan pulang, manakala 21,365 individu tidak lagi diletakkan di bawah pemerhatian perubatan.

“Sebanyak 640 kes kritikal baharu dilaporkan (564 di Hubei), 73 kematian (70 di wilayah Hubei, satu di bandar Tianjin, satu di wilayah Heilongjiang, satu di wilayah Guizhou), dan 5,328 kes disyaki (3,230 di wilayah Hubei),” menurut kenyataan itu.

Jelasnya, jumlah kes baharu itu menjadikan angka keseluruhan individu dijangkiti coronavirus di negara itu kini mencecah 28,018 kes setakat semalam.

Jumlah keseluruhan individu yang sembuh dan dibenarkan pulang daripada hospital pula mencecah 1,153, manakala 26,302 individu sedang dirawat di pusat isolasi dengan 3,859 kes kritikal.

“Secara keseluruhan, sebanyak 563 kes kematian direkodkan dan 24,702 kes disyaki.

“Seramai 282,813 kenalan rapat (pada individu dijangkiti) sudah dikesan, dan 186,354 individu diletakkan di bawah pemerhatian perubatan,” jelasnya.

Lagi berita mengenai novel coronavirus (2019-nCoV) - https://www.bharian.com.my/coronavirus

Berita Harian X