Selasa, 4 Februari 2020 | 12:29pm
Jepun mengkuarantin kapal persiaran Diamond Princess yang membawa lebih 3,000 orang dan melakukan saringan wabak coronavirus selepas seorang penumpang yang berlepas dari Hong Kong diuji positif virus itu. - AFP
Jepun mengkuarantin kapal persiaran Diamond Princess yang membawa lebih 3,000 orang dan melakukan saringan wabak coronavirus selepas seorang penumpang yang berlepas dari Hong Kong diuji positif virus itu. - AFP

Kapal persiaran Diamond Princess dikuarantin susulan coronavirus

TOKYO: Jepun mengkuarantin kapal persiaran yang membawa 3,500 orang dan melakukan saringan wabak coronavirus hari ini, selepas seorang penumpang yang berlepas dari Hong Kong didapati positif virus itu.

Rakaman televisyen memaparkan beberapa imej pegawai kuarantin memasuki kapal persiaran Diamond Princess di pelabuhan Yokohama, petang semalam, untuk membuat saringan kesihatan ke atas 2,500 penumpang dan 1,000 kru kapal.

Tindakan itu susulan penumpang berusia 80 tahun yang mendarat di Hong Kong pada 25 Januari lalu didapati, positif virus berbahaya terbabit.

Jurucakap yang juga Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga, semalam berkata, pihak berkuasa Jepun akan mengkuarantin kapal terbabit yang berlabuh di Pelabuhan Yokohama, sehari sebelum tarikh ditetapkan.

Seorang wanita berusia 20-an yang sedang berlayar bersama ibunya memberitahu stesen televisyen swasta, TBS, hari ini, semua penumpang diminta untuk kekal dalam bilik masing-masing, sementara menunggu saringan keselamatan dilakukan.

Katanya, mereka yang masih menunggu di bilik masing-masing sejak Isnin lalu itu belum menerima sebarang makluman mengenai tarikh saringan kesihatan akan dilakukan.

Selepas kapal berlabuh di Yokohama, petang kelmarin, semua penumpang dimaklumkan proses keberangkatan masing-masing dari kawasan itu akan mengalami kelewatan selama 24 jam, kata seorang lagi penumpang kepada agensi Kyodo News.

Kapal persiaran terbabit pernah dikuarantin Sabtu lalu, di pelabuhan dekat Naha dalam wilayah paling selatan Okinawa. Bagamainapun, kuarantin kali kedua dilakukan selepas seorang lelaki didapati positif wabak terbabit ketika berlabuh di Hong Kong.

Sabtu lalu, Jepun mengadakan sekatan ke atas pelancong asing yang pernah mengunjungi Hubei, China dalam tempoh terdekat termasuk rakyat dari bandar raya yang menjadi lokasi penularan wabak itu. Pelancong yang mempunyai simptom wabak itu juga dilarang memasuki Jepun.

Sejak Sabtu, Jepun telah menyekat warganegara asing yang pernah pergi ke Hubei beberapa minggu kebelakangan ini, serta pemegang pasport Cina dikeluarkan di Hubei. Ketibaan mempamerkan gejala virus baharu juga boleh dihalang kemasukan.

Seramai lapan pelancong asing dilarang memasuki Jepun, kata Suga, semalam.

Kementerian Kesihatan semalam, berkata seramai 20 orang di Jepun didapati, positif jangkitan virus itu dengan empat daripada mereka tidak menunjukkan sebarang simptom.

Jepun juga sudah membawa pulang seramai 500 rakyatnya dari Wuhan, lokasi penularan wabak coronavirus. - AFP

Berita Harian X