Sabtu, 1 Februari 2020 | 12:32pm
Pekerja memakai pakaian khas mengesan suhu badan pemandu dan penumpang di stesen tol di Yantai, Shandong, China. - Foto Reuters
Pekerja memakai pakaian khas mengesan suhu badan pemandu dan penumpang di stesen tol di Yantai, Shandong, China. - Foto Reuters

Terbaharu mengenai penyebaran coronavirus di China dan negara luar

WABAK coronavirus yang bermula di Wuhan, ibukota wilayah tengah China, Hubei, telah merebak ke lebih 9.800 orang di seluruh dunia, mengatasi jumlah wabak SARS 2002-2003. Virus baharu itu telah mengakibatkan 259 kematian di China setakat ini.

Berikut ialah fakta coronavirus:

* Terdapat 131 kes yang disahkan di 23 negara dan wilayah di luar tanah besar China, termasuk Australia, Britain, Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun, Thailand dan Amerika Syarikat.

* Tiada kematian dilaporkan di luar China.

* Khamis lalu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan awam antarabangsa

* AS melaporkan kes pertama penyebaran virus dari manusia ke manusia. Jerman, Jepun, Thailand, Vietnam dan Korea Selatan juga telah mencatatkan penyebaran yang sama, yang menunjukkan potensi yang lebih besar untuk menyebarkan virus itu.

* Beberapa bandar raya China telah mengenakan larangan perjalanan yang ketat.

* Jabatan Negara AS memberitahu warga Amerika supaya tidak pergi ke China.

* Pentadbiran Trump mengisytiharkan darurat kesihatan awam ekoran wabak coronavirus dan mengatakan ia akan mengambil langkah luar biasa menyekat kemasukan warga asing yang telah melakukan perjalanan ke China daripada memasuki AS.

* Jepun menasihatkan rakyatnya supaya menangguhkan perjalanan yang tidak mendesak ke China dan melaksanakan langkah-langkah khas untuk membendung penyebaran coronavirus.

* Russia melaporkan dua kes coronavirus pertama dan penerbangan langsung yang terbatas ke China, rakan perdagangan terbesarnya.

* Syarikat penerbangan global menggantung atau mengehadkan semula penerbangan langsung ke bandar utama di China.

* Negara-negara termasuk Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Indonesia, Itali, Jepun, Singapura, Korea Selatan dan AS berusaha atau sudah mula membawa pulang rakyat mereka dari Wuhan.

* Penerbangan tempah khas yang membawa 368 warga Korea Selatan dari Wuhan mendarat di Seoul. Kesemua mereka dibawa ke pusat kuarantin.

* Pesawat membawa 83 warga British dan 27 warga asing lain meninggalkan Wuhan, kata kerajaan Britain.

* Pihak berkuasa di Myanmar menghantar balik penerbangan China Southern dari Guangzhou dengan hampir semua orang dalam pesawat selepas salah seorang penumpang ditemui dengan gejala selsema yang serupa dengan coronavirus, kata jurucakap kerajaan.

* Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, menolak permintaan dari kesatuan perubatan supaya menutup sempadan dengan tanah besar China bagi membendung penyebaran coronavirus.

* Pihak berkuasa penerbangan China menghantar dua penerbangan untuk membawa pulang pelancong negara itu yang terkandas di Thailand dan Malaysia.

* China akan mengeluarkan rizab sayur musim sejuk dan musim bunga di bandar-bandar utama di utara untuk mengatasi kekurangan bekalan akibat wabak coronavirus baharu, kata agensi berita Xinhua.

* Persatuan Bola Sepak China berkata ia akan menangguhkan perlawanan domestik pada tahun 2020.

* Kejohanan Sukan Olahraga Dalam Dewan Dunia yang dijadualkan di bandar raya Nanjing pada bulan Mac telah ditangguhkan hingga 2021.

* Coronavirus seharusnya hanya beri sedikit kesan pada ekonomi AS, kata ketua penasihat ekonomi Presiden Donald Trump.

* Ibunegara China, Beijing berkata bahawa syarikat di wilayah itu akan menangguhkan pembukaan semula sehingga 10 Februari bagi membantu mencegah penyebaran coronavirus baharu, kata akhbar kerajaan Beijing Daily.

* Sesetengah pakar percaya bahawa coronavirus tidak berbahaya seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) 2002-03 yang mengakibatkan kematian hampir 800 orang, atau Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), yang telah mengakibatkan kematian lebih 700 orang sejak 2012. - REUTERS

Berita Harian X