Sabtu, 25 Januari 2020 | 8:59am
- Foto Twitter BERNAMA
- Foto Twitter BERNAMA

Coronavirus: Kematian meningkat kepada 41 orang

Wuhan (CHINA): Jumlah kematian wabak virus maut di China meningkat kepada 41 orang dengan pihak berkuasa hari ini melaporkan 15 kematian baharu dan lebih 1,000 orang yang kini dijangkiti.

Kesemua kematian baharu berlaku di ibu kota wilayah Wuhan, bandar raya menempatkan 11 juta penduduk di mana penularan jangkitan pernafasan maut mula muncul, kata Suruhanjaya Kesihatan Hubei.

Wuhan dan 13 bandar lain di wilayah itu ‘dikunci’ dalam usaha untuk kuarantin bagi mengelak jangkitan pernafasan yang kini merebak di seluruh negara dan beberapa negara lain.

Suruhanjaya Kesihatan juga melaporkan 180 kes baharu di wilayah itu, 77 daripadanya di Wuhan tetapi sebahagian besar bakinya tersebar di seluruh bandar-bandar kecil.

Beberapa bandar raya itu melaporkan kes pertama mereka mengenai patogen - 2019 Coronavirus Novel (2019-nCoV) - kata suruhanjaya itu.

Jumlah itu menjadikan 830 kes jangkitan yang disahkan di seluruh negara, yang dilaporkan dalam pengumuman terbaru kerajaan pusat yang dikeluarkan pada Jumaat.

Virus itu menyebabkan kebimbangan dunia kerana kesamaannya dengan SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk), yang membunuh beratus-ratus penduduk di tanah besar China dan Hong Kong pada 2002-2003. - AFP

Berita Harian X