Jumaat, 24 Januari 2020 | 11:25pm
Lokasi seorang pelajar Nepal yang baru pulang dari China disahkan dijangkiti coronavirus.

Nepal sahkan kes pertama coronavirus

KATHMANDU: Seorang pelajar Nepal yang baru pulang dari China disahkan dijangkiti coronavirus baharu, kata seorang pegawai Kementerian Kesihatan, Mahendra Shrestha, hari ini.

Mahendra berkata, ia sekali gus muncul sebagai kes pertama jangkitan coronavirus baharu di negara itu.

"Seorang pesakit disahkan positif coronavirus. Dia adalah warga Nepal yang menuntut di China," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan media menjelaskan, pelajar terbabit yang pulang untuk bercuti ke kampung halamannya di Nepal dari Wuhan, China kini diletakkan di bawah pengawasan.

Katanya, individu yang berhubung rapat dengan pelajar terbabit turut disiasat, selain meneliti tahap kesihatan pelancong dari China yang melawat Nepal.

Semalam, lapangan terbang di Wuhan, China ditutup dan semua penerbangan dari lokasi itu dibatalkan, susulan penularan jangkitan coronavirus.

Sehingga, kini seramai 25 orang maut akibat virus itu dan 800 lagi dilaporkan dijangkiti virus berkenaan.

Sebelum ini, pihak berkuasa China melaporkan, wabak koronavirus yang bermula di Wuhan kini sudah mula merebak ke wilayah lain termasuk Beijing dan Shanghai. - REUTERS

Berita Harian X