Jumaat, 24 Januari 2020 | 11:43am
Penumpang yang memakai topeng muka di dewan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, China. - Foto REUTERS
Penumpang yang memakai topeng muka di dewan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, China. - Foto REUTERS

China hentikan pengangkutan awam di lapan bandar sekitar lokasi wabak

BEIJING: China menutup beberapa jambatan, menghentikan pengangkutan awam dan menutup sebuah lapangan terbang utama dalam usaha menyekat pergerakan kira-kira 26 juta orang yang berada di sekitar lokasi yang tercetusnya wabak Coronavirus.

Huangsi yang mempunyai kepadatan penduduk 2.4 juta orang menjadi bandar terbaru di wilayah Hubei menutup laluan pengangkutan hari ini sebagaimana ia menutup terminal feri dan jambatan di Sungai Yangtze, dan menggantung pengangkutan awam.

Langkah itu menyaksikan penggantungan perkhidmatan bas penumpang jarak jauh dan pengangkutan awam dari malam tadi di Qianjiang, sebuah bandar di Hubei tengah dengan penduduk hampir satu juta orang.

Pihak berkuasa berkata langkah itu adalah untuk mencegah dan mengawal penyebaran coronavirus baharu, yang sejak itu sudah menjangkiti lebih 800 orang dan membunuh 25 orang.

Virus itu tercetus dari Wuhan di wilayah Hubei, di mana pasar makanan laut dikenal pasti sebagai pusat wabak itu.

Keadaan itu mencetuskan keadaan berjaga-jaga kerana ia menyamai SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk), yang membunuh hampir 650 orang di tanah besar China dan Hong Kong pada 2002 - 2003.

Penumpang menggunakan eskalator di dalam stesen kereta api Beijing menjelang Tahun Baru di Beijing. - Foto AFP
Penumpang menggunakan eskalator di dalam stesen kereta api Beijing menjelang Tahun Baru di Beijing. - Foto AFP

Kereta api dan pesawat dihentikan daripada meninggalkan Wuhan sejak semalam berikutan bandar itu diletakkan di bawah kawalan yang berkesan. Bot penumpang dan bas juga dilarang masuk ke bandar.

Bandar lain yang mempunyai sekatan perjalanan termasuk Xiantao, bandar raya dengan kepadatan penduduk 1.5 juta orang dan Chibi, yang mempunyai kira-kira 500,000 penduduk yang akan menutup laluan masuk dan laluan pengangkutan.

Bandar-bandar Ezhou, Huanggang dan Lichuan juga mengumumkan larangan perjalanan.

Pihak berkuasa wilayah Hubei berkata mereka membatalkan persembahan kebudayaan dan menutup lokasi kebudayaan awam.

Agensi-agensi pelancongan di wilayah itu telah menggantung kegiatan perniagaan, dan tidak lagi menawarkan pakej pelancongan, kata pihak berkuasa dalam satu pengumuman hari ini. - AFP

Berita Harian X