Jumaat, 24 Januari 2020 | 7:24am
Orang ramai memakai topeng muka berjalan di luar pusat membeli-belah di Beijing. - Foto AFP
Orang ramai memakai topeng muka berjalan di luar pusat membeli-belah di Beijing. - Foto AFP
Penduduk beratur untuk menerima rawatan di Hospital Wuhan Tongji di Wuhan, wilayah Hubei, China. - Foto REUTERS
Penduduk beratur untuk menerima rawatan di Hospital Wuhan Tongji di Wuhan, wilayah Hubei, China. - Foto REUTERS

Coronavirus: Perintah berkurung di dua bandar di China

BEIJING: China melaksanakan perintah berkurung kepada jutaan penduduk di dua bandar raya, lokasi wabak coronavirus yang mengorbankan 18 orang dan menjangkiti lebih 630 orang ketika pihak berkuasa seluruh dunia berusaha mencegah virus berkenaan.

Pegawai kesihatan bimbang kadar jangkitan akan meningkat berikutan ratusan juta penduduk negara itu akan bercuti panjang sempena Tahun Baharu Cina bermula esok.

Laporan media di negara itu mengesahkan 634 penduduk dijangkiti virus berkenaan dan sehingga Rabu lalu, Suruhanjaya Kesihatan Nasional China mengesahkan 17 maut di wilayah tengah Hubei.

Pihak berkuasa kesihatan di Hebei, di selatan Beijing, berkata semalam, seorang lelaki berusia 80 tahun yang dijangkiti coronavirus meninggal dunia, kes kematian pertama disahkan di luar Hubei.

Virus yang tidak dapat dipastikan itu dipercayai muncul lewat tahun lalu menerusi perdagangan hidupan liar secara haram di pasar di ibu kota wilayah Hubei, Wuhan.

Kebanyakan sistem pengangkutan di Wuhan, bandar raya yang diduduki 11 juta orang, digantung sejak Khamis lalu dan orang ramai diarah tidak meninggalkan lokasi berkenaan.

Beberapa jam kemudian, bandar berhampiran Huanggang yang memiliki tujuh juta penduduk mengumumkan langkah sama.

"Perintah berkurung membabitkan 11 juta orang tidak pernah berlaku dalam sejarah kesihatan awam," kata wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Gauden Galea di Beijing.

Seorang lelaki mendukung anak gadisnya sambil memakai topeng muka di Gerbang Tiananmen di Beijing.
Seorang lelaki mendukung anak gadisnya sambil memakai topeng muka di Gerbang Tiananmen di Beijing.

Coronavirus yang baru dikenal pasti mencetuskan suasana panik berikutan tidak dapat dipastikan jangkitannya. Terlalu awal untuk mengetahui tahap bahaya virus berkenaan dan betapa mudahnya untuk ia disebarkan.

Tiada vaksin untuk virus ini yang boleh merebak melalui pernafasan. Gejala termasuk demam, kesukaran bernafas dan batuk, menyamai simptom banyak penyakit berkaitan pernafasan lain.

Dikatakan tiga pasukan penyelidikan akan mula membangunkan vaksin, satu gabungan global yang ditubuhkan untuk melawan penyakit.

Kementerian Kewangan China berkata ia memperuntukkan 1 bilion yuan (AS$145 juta) kepada kerajaan wilayah Hubei untuk membantu mengatasi wabak itu.

Beijing News yang memetik sumber daripada syarikat pembinaan melaporkan, selain menyekat pergerakan, Wuhan merancang membina sebuah hospital baharu dalam masa enam hari untuk merawat pesakit.

Bandar-bandar lain juga mengambil beberapa langkah-langkah untuk menyekat penyebaran virus berkenaan.

Bandar berhampiran, Ezhou menutup stesen kereta api. Beijing membatalkan perhimpunan besar, termasuk dua pameran candi Tahun Baharu Cina, dan menutup Forbidden City, lokasi tarikan pelancong paling terkenal di ibu negara kepada pelawat sehingga notis lanjut. - Reuters

Berita Harian X