Khamis, 23 Januari 2020 | 9:41pm

Rumah Ahli Parlimen Yaman dibedil peluru berpandu

DUBAI: Serangan peluru berpandu oleh pasukan pemberontak menyasarkan rumah Ahli Parlimen Yaman mengorbankan dua orang termasuk seorang kanak-kanak.

Tragedi yang dikutuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyusuli serangan terdahulu yang mengorbankan 116 orang di kawasan sama.

Kerajaan Yaman yang disokong tentera bersekutu diterajui Arab Saudi itu berperang dengan kumpulan pemberontak disokong Iran sejak 2014, apabila mereka menceroboh Sanaa.

Serangan terbaru itu menyasarkan rumah Ahli Parlimen Yaman, Mossad Hussein al-Sawadi di wilayah Marib, timur Sanaa, mengakibatkan menantu perempuan dan cucu perempuan berusia 16 tahun terbunuh, menurut agensi berita rasmi Saba.

Pengarah Jabatan Penyiasatan Jenayah di Marib, Hussein al-Huleissi, berkata Sawadi cedera parah bersama tiga lagi anggota keluarganya.

“Serangan itu memusnahkan sama sekali rumah terbabit dan mencetuskan panik di kejiranan itu,” katanya.

Wakil PBB ke Yaman, Martin Griffiths, mengutuk serangan itu dan menggesa kegiatan ketenteraan dihentikan di Yaman, yang secara umumnya aman sejak beberapa bulan lalu.

Sabtu lalu, serangan terhadap masjid di kem tentera Marib, yang didakwa dilancarkan pejuang Houthi, mengorbankan 116 nyawa termasuk orang awam.

Jurucakap tentera, Abdullah al-Shandaki, memberitahu AFP bahawa 72 pejuang Houthi terbunuh dalam pertempuran itu. - AFP

Berita Harian X