Isnin, 20 Januari 2020 | 7:49pm
Wakil khas PBB bagi Yaman, Martin Griffiths. - Foto hawarnews.com
Wakil khas PBB bagi Yaman, Martin Griffiths. - Foto hawarnews.com

PBB kutuk serangan terhadap kem tentera Yaman

ADEN: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk tindakan puak Houthi menyerang kem latihan tentera al-Estiqbal di Marib, Yaman, menggunakan peluru berpandu.

Wakil khas PBB bagi Yaman, Martin Griffiths, berkata tindakan itu merencatkan usaha sukar selama ini untuk mengakhiri perang lima tahun di wilayah terbabit.

“Semua ini akan menjejaskan rundingan yang sekian lama kita usahakan, semua didesak menjuruskan tenaga kepada rumusan menerusi rundingan politik, bukan perang,” katanya.

Tragedi mengorbankan 79 anggota tentera dan mencederakan 81 lagi itu dikhuatiri menjejaskan proses politik bagi mengakhiri perang hampir lima tahun di wilayah itu.

Serangan Sabtu lalu itu terkena pada masjid di kem berkenaan di bandar pentadbiran Presiden Abd Rabbu Mansour Hadie, yang diiktiraf sebagai kerajaan sah oleh masyarakat antarabangsa.

Bagaimanapun, puak Houthi atau mana-mana kumpulan lain belum mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Selain itu, Arab Saudi yang mengetuai gabung ketenteraan menentang puak pemberontak Houthi di Yaman, turut mengutuk serangan peluru berpandu itu, berdasarkan kenyataan Kementerian Luar negara itu.

"Ia (serangan) mencerminkan pengganas militia berkenaan tidak mempedulikan tempat suci dan...untuk darah rakyat Yaman," katanya.

Perang Yaman sudah mengorbankan lebih 100,000 orang dan mengakibatkan jutaan penduduknya berada di ambang kebuluran. - Agensi

- Agensi

Berita Harian X