Ahad, 19 Januari 2020 | 6:39pm
Penunjuk perasaan antikerajaan mencari pelindungan dari asap gas pemedih mata yang ditembak polis di Hong Kong. - Foto AFP

Polis guna gas pemedih mata surai penunjuk perasaan

HONG KONG: Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan ribuan penunjuk perasaan antikerajaan yang berhimpun di tengah taman di Hong Kong, tetapi kemudian berarak di jalanan, sekali gus melanggar arahan pihak berkuasa.

Polis akhirnya terpaksa campur tangan terhadap demonstrasi itu selepas ia bertukar menjadi perarakan tidak terkawal sehingga beberapa unit pihak berkuasa dengan kelengkapan khas dilihat mengejar penunjuk perasaan dan beberapa tangkapan dibuat.

Trak meriam air juga dilihat dipandu pihak berkuasa di tengah jalan dengan diapit oleh kereta kebal perisai, namun peralatan itu tidak digunakan.

Pihak polis sebelum ini bersetuju terhadap permohonan oleh penganjur untuk mengadakan perarakan itu di taman, tetapi ia secara tiba-tiba bertukar menjadi ganas.

Sebaik sahaja penunjuk perasaan mula melangkah ke jalanan, sebahagian mereka yang memakai baju serba hitam, membuat sekatan di jalan menggunakan payung dan peralatan awam, selain menggali batu-bata daripada laluan pejalan kaki dan merosakkan lampu isyarat.

Demonstrasi "Pengepungan Sejagat Terhadap Komunisme" itu adalah yang terbaru dalam siri protes terhadap kerajaan sejak Jun lalu di mana rakyat Hong Kong menyuarakan kemarahan mereka terhadap penarikan rang undang-undang ekstradisi dengan berarak di jalanan.

Bantahan itu yang semakin berleluasa antaranya menuntut hak mengundi sejagat dan penyiasatan bebas terhadap polis yang mengendalikan demonstrasi, dilihat kehilangan kekuatannya sejak kebelakangan ini.

Menerusi taktik terbaru, polis dilihat tampil bersama kelengkapan khas, dengan pegawai menjalankan operasi ‘mencari dan menahan’ berhampiran kawasan disyaki berlaku demonstrasi.

"Setiap orang memahami adanya risiko terhadap operasi ‘mencari dan menahan’ atau tangkapan secara besar-besaran. Saya menghargai penduduk Hong Kong yang masih berani meskipun ia berisiko, " kata penganjur, Ventus Lau. - REUTERS

Berita Harian X