Ahad, 12 Januari 2020 | 7:26pm
Penunjuk perasaan memberi tekanan terhadap kepemimpinan selepas tentera Iran mengakui tersilap menembak sebuah pesawat Ukraine. - Foto AFP
Penunjuk perasaan memberi tekanan terhadap kepemimpinan selepas tentera Iran mengakui tersilap menembak sebuah pesawat Ukraine. - Foto AFP

Tunjuk perasaan kian meruncing di Iran

DUBAI: Penunjuk perasaan dan akhbar tempatan Iran terus memberi tekanan terhadap kepemimpinan negara itu, manakala polis rusuhan menambah keanggotaannya di Tehran hari ini selepas tentera Iran mengakui tersilap menembak sebuah pesawat Ukraine.

Polis rusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke atas ribuan rakyat Iran yang memenuhi jalanan di ibu negara serta bandar lain, kebanyakan mereka melaungkan 'kematian kepada diktator', yang mengarahkan kemarahan kepada pihak berkuasa dan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei.

Laporan protes dikeluarkan agensi berita tempatan, sementara klip video diedar menerusi media sosial.

Penduduk Tehran memberitahu polis sudah menambah keanggotaan di ibu negara sejak pagi tadi.

"Minta maaf dan letak jawatan," demikian tajuk utama akhbar harian Iran, Etemad, hari ini, sambil mengatakan permintaan rakyat adalah untuk mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden pesawat itu meletak jawatan.

Semua 176 penumpang yang menaiki penerbangan Ukraine International Airlines (UIA) terbunuh, kebanyakannya warga Iran yang memiliki dua kerakyatan.

Tunjuk perasaan tercetus sejak semalam selepas tentera mengakui menembak jatuh pesawat UIA selepas berlepas dari ibu negara itu, Rabu lalu.

Demonstrasi melebar ke serata Iran sejak semalam, termasuk bandar utama seperti Shiraz, Isfahan, Hamedan dan Orumiyeh.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam entri di Twitter rasminya berkata: “Kami mengikuti protes anda dengan rapi dan terharu dengan keberanian anda. Tidak boleh berlaku satu lagi pembunuhan beramai-ramai terhadap penunjuk perasaan secara aman, atau penutupan internet," katanya.

Britain memberitahu dutanya di Iran ditahan pihak berkuasa di Tehran semalam, dengan Setiausaha Luar British, Dominic Raab mengutuk tindakan itu.

Agensi berita menyatakan penahanannya dibuat di luar sebuah universiti kerana cuba menghasut penunjuk perasaan. - REUTERS.

Berita Harian X