Jumaat, 10 Januari 2020 | 3:36pm
Konvoi tentera Amerika Syarikat yang menuju ke Qamishli, Syria. - Foto AFP
Konvoi tentera Amerika Syarikat yang menuju ke Qamishli, Syria. - Foto AFP

8 terkorban dalam serangan udara di timur Syria

BEIRUT: Serangan udara di timur Syria mengorbankan lapan pejuang separa tentera Iraq menganggotai kumpulan Hashed al-Shaabi.

Ketua Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman, berkata sebuah pesawat yang tidak dapat dikenal pasti melancarkan serangan itu.

“Ia menyasarkan kenderaan dan depoh senjata di kawasan Albu Kamal, menyebabkan letupan besar.

“Sekurang-kurangnya lapan pejuang separa tentera menganggotai kumpulan Hashed al-Shaabi terbunuh dan beberapa yang cedera,” katanya.

Sementara itu, jurucakap tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat (AS) beroperasi di Syria, yang dihubungi AFP, menafikan melakukan serangan itu.

Abdel Rahman berkata tiga kampung di kawasan Albu Kamal yang diketahui menempatkan pasukan setia kepada Teheran, menjadi sasaran serangan dron sejak semalam tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Serangan itu memburukkan lagi ketegangan sedia ada berikutan serangan dron AS pada 3 Januari lalu yang membunuh seorang komander tertinggi Iran, Qasem Soleimani dan pejuang serta pengasas Kataeb Hezbollah, orang penting Iran di Iraq.

Ia disusuli serangan peluru berpandu Iran terhadap markas tentera AS dan bersekutu di Iraq, di mana Iran mendakwa 80 terbunuh manakala AS dan Iraq tidak melaporkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa. - AFP

Berita Harian X