Selasa, 10 Disember 2019 | 11:37pm
Sebuah kereta terperangkap dalam insiden pokok tumbang di lebuh raya Passamainty - Combani di pulau Lautan Hindi di Mayotte kelmarin. -Foto AFP
Sebuah kereta terperangkap dalam insiden pokok tumbang di lebuh raya Passamainty - Combani di pulau Lautan Hindi di Mayotte kelmarin. -Foto AFP

2 maut, Siklon Belna badai Madagascar

ANTANANARIVO: Dua orang terkorban di Madagascar selepas Siklon Belna menyerang kawasan barat laut negara itu, menyebabkan banjir besar dan ribuan penduduk hilang tempat tinggal, kata pihak berkuasa hari ini.

Siklon tropika itu membadai rantau Boeny di negara kepulauan miskin itu semalam selepas menyerang kepulauan Mayotte dan Comoros.

“Seorang kanak-kanak dan warga emas gagal menyelamatkan diri selepas sebuah empangan pecah,” kata ketua Pejabat Pengurusan Bencana Madagascar (BNGRC), Elack Andriakaja.

Siklon itu membawa hujan lebat dan mencapai kelajuan angin maksimum 180 kilometer sejam, menerbangkan bumbung serta menyebabkan kerosakan meluas.

BNGRC berkata, 1,300 orang hilang tempat tinggal di bandar Soalala sementara 172 orang termasuk 120 kanak-kanak di bandar pelabuhan Mahajanga.

Kedua-dua kematian setakat ini dilaporkan berlaku di Soalala, yang banjir selepas empangan pecah.

“Siklon akan berlalu namun bahaya akibat banjir tidak dapat dielak,” kata Andriakaja menambah akses melalui udara agak rumit.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengagihkan ubatan untuk 1,500 penduduk dan bekalan dihantar menggunakan bot esok (Rabu).

Belna melepasi Mayotte kelmarin selepas ramalan awal meletakkan kepulauan Perancis itu dalam serangan langsung. Mayotte atau Comoros dilaporkan tidak mengalami kerosakan besar.

Madagascar, pulau bekas jajahan Perancis di luar pantai tenggara Afrika, kerap dibadai siklon dan ribut tropika lain. -AFP

Gambar menunjukkan restoran ditutup di pantai Mamoudzou di pulau terletak di Lautan Hindi milik Perancis di Mayotte, ketika Siklon Belna dijangka mendarat. -Foto AFP
Gambar menunjukkan restoran ditutup di pantai Mamoudzou di pulau terletak di Lautan Hindi milik Perancis di Mayotte, ketika Siklon Belna dijangka mendarat. -Foto AFP

Berita Harian X