Selasa, 10 Disember 2019 | 9:02pm
TENTERA Bangladesh mula membina pagar mengelilingi kem yang menempatkan ratusan ribu pelarian Rohingya. - Foto AFP
TENTERA Bangladesh mula membina pagar mengelilingi kem yang menempatkan ratusan ribu pelarian Rohingya. - Foto AFP

Bangladesh mula pagar kem Rohingya

BALUKHALI: Tentera Bangladesh mula membina pagar mengelilingi kem yang menempatkan ratusan ribu pelarian Rohingya walaupun terdapat rungutan daripada pemimpin komuniti dan kumpulan hak asasi manusia.

Seorang wakil AFP memaklumkan, beliau menyaksikan tentera berpakaian celoreng memasang tiang untuk pagar kawat duri di sekeliling satu kem mega di sini dalam daerah Cox’s Bazar di sempadan tenggara Bangladesh.

Pesuruhjaya pelarian Bangladesh, Mahhbub Alam Talukder mengesahkan kepada AFP, pembinaan itu sudah bermula, namun enggan mengulas lanjut.

Bulan lalu, ketua tentera, Jeneral Aziz Ahmed berkata, jurutera tentera sudah mula membina tiang dan mengeluarkan arahan memasang pagar kawat duri.

Semua kem itu menempatkan hampir sejuta orang majoriti etnik Muslim Rohingya dengan 750,000 daripada mereka melarikan diri daripada operasi tentera di negara jiran Myanmar, sejak Ogos 2017.

Bangladesh dilihat semakin kecewa dengan penempatan pelarian itu terutama sejak cubaan menghantar pulang mereka ke Myanmar Ogos lalu, gagal. - AFP

Berita Harian X