Ahad, 8 Disember 2019 | 6:45pm
RIBUAN penunjuk perasaan berpakaian hitam daripada semua lapisan masyarakat membanjiri jalan raya di Hong Kong. - Foto AFP
RIBUAN penunjuk perasaan berpakaian hitam daripada semua lapisan masyarakat membanjiri jalan raya di Hong Kong. - Foto AFP

Penunjuk perasaan Hong Kong kembali banjiri jalan raya

HONG KONG: Ribuan penunjuk perasaan berpakaian hitam daripada semua lapisan masyarakat membanjiri jalan raya di Hong Kong hari ini sebagai tanda menyokong kuat bantahan antikerajaan yang menggegarkan bandar raya itu selama enam bulan.

Dengan laungan ‘Berjuang untuk kebebasan, teguh bersama-sama Hong’, aktivis antikerajaan, muda dan tua, berarak dari Victoria Park di daerah membeli belah terkenal Causeway Bay di Chater Road berhampiran pusat daerah kewangan.

Pihak berkuasa memberikan lampur hijau kepada Barisan Hak Asasi Manusia Sivil (CHRF), penganjur perarakan aman disertai jutaan orang Jun lalu, untuk mengadakan perhimpunan, kali pertama kumpulan berkenaan diberi kebenaran membuat bantahan sejak 18 Ogos lalu.

“Saya akan berjuang untuk kebebasan sehingga mati kerana saya rakyat Hong Kong.

“Hari ini mengenai teguh bersama Hong Kong, dan komuniti antarabangsa,” kata June, 40, yang berpakaian hitam duduk di atas rumput di Victoria Park.

Bekas jajahan Britain itu ditadbir menurut ‘Satu Negara, Dua Sistem’, formula yang menjamin kebebasan tidak dinikmati di tanah besar China.

Namun ramai bimbang China semakin mengukuhkan cengkaman di bandar ray aitu dan kerap campur tangan dalam urusan domestiknya.

Beijing menafikan sebarang campur tangan, mengutuk kekecohan dan menyalahkan kerajaan asing, termasuk Amerika Syarikat dan Britain, kerana mencampuri hal ehwal dalaman bandar raya itu.

Gema ‘lima tuntutan, tidak kurang satu pun’ kedengaran di jalan raya, merujuk kepada desakan penunjuk perasaan bagi hak memilih pemimpin bandar raya itu.

Terdahulu, polis menangkap 11 orang, berusia 20 h ingga 63 tahun dan merampas senjata termasuk pisau tentera, mercun, 105 peluru dan pistol automatik, rampasan pertama senjata api dalam masa enam bulan demonstrasi. — Reuters

Berita Harian X