Sabtu, 7 Disember 2019 | 10:38pm
Ketua Polis Hong Kong, Tang Ping Keung pada sidang media di Beijing, semalam. Foto AFP
Ketua Polis Hong Kong, Tang Ping Keung pada sidang media di Beijing, semalam. Foto AFP

Tiada tindakan tegas terhadap peserta perhimpunan: polis

BEIJING/HONG KONG: Pesuruhjaya Polis Hong Kong, Chris Tang memberi jaminan bahawa anggotanya, akan menggunakan pendekatan lebih fleksibel terhadap peserta demonstrasi prodemokrasi, yang bakal diadakan esok.

Tang yang dilantik ke jawatan itu, bulan lalu, berikutan persaraan penyandangnya, ketika Hong Kong sedang dibelenggu rusuhan antikerajaan selama hampir enam bulan.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke Beijing, bagi memberi taklimat kepada pegawai kanan negara itu, yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal keselamatan awam dan undang-undang, mengenai keadaan semasa di Hong Kong.

“Kami akan menggunakan kedua-dua pendekatan, iaitu tegas dan berhemah.

“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti berunsur keganasan seperti melontar bom petrol dan asid.

“Bagi isu lain, jika boleh akan menggunakan pendekatan lebih berhemah,” katanya kepada wartawan di Beijing.

Terdahulu, polis memberi ‘lampu hijau’ kepada penganjur, kumpulan Barisan Hak Asasi Manusia Sivil (CHRF), untuk mengadakan demonstrasi esok, iaitu kebenaran yang jarang diberikan sebelum ini.

CHRF adalah penganjur perarakan aman besar-besaran pada musim panas lalu.

Perarakan itu dijangka mendapat sokongan pergerakan prodemokrasi, susulan kemenangan besar yang diperoleh dalam pilihan raya tempatan, akhir bulan lalu.

Bagaimanapun, polis berkata, mereka tidak akan teragak-agak untuk campur tangan, jika perhimpunan bertukar ganas.

Namun, Tang berkata, beliau berharap perhimpunan yang bakal diadakan esok, akan berlangsung secara aman. - Reuters

Berita Harian X