X
Jumaat, 29 November 2019 | 3:59pm
Gambar fail, penyanyi Jung Joon-young tiba di pejabat polis untuk disoal siasat atas pengedaran rakaman jenayah rogol di Agensi Polis Metropolitan Seoul, Korea Selatan, 14 Mac lalu. - Foto REUTERS
Gambar fail, penyanyi Jung Joon-young tiba di pejabat polis untuk disoal siasat atas pengedaran rakaman jenayah rogol di Agensi Polis Metropolitan Seoul, Korea Selatan, 14 Mac lalu. - Foto REUTERS

Dua bintang K-pop dihukum penjara

SEOUL: Mahkamah Korea Selatan menjatuhkan hukuman penjara ke atas dua selebriti K-pop kerana merogol seorang wanita dan mengedarkan rakaman jenayah itu dalam kes yang mengundang perhatian kepada sisi gelap industri hiburan mewah negara berkenaan.

Jung Joon-young, 30, ditahan Mac lalu dan dijatuhi hukuman enam tahun penjara.

Sementara bekas anggota kumpulan FT Island, Choi Jong-hoon, 30, dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan sama.

Kedua-dua mereka ialah anggota kumpulan sembang atas talian yang berkongsi rakaman seks rahsia dan berjenaka mengenai memberi ubat dan merogol wanita, kata Mahkamah Daerah Seoul Tengah.

Sabitan Jung juga termasuk pengedaran terlarang video lain yang dirakamkan secara rahsia ketika mengadakan hubungan seks dengan wanita.

Identiti mangsa tidak didedahkan untuk melindungi peribadi mereka.

Kedua-dua mereka juga diarahkan menjalani pendidikan rawatan keganasan seksual selama 80 jam.

“Defendan adalah selebriti dan rakan amat dikenali, tetapi perbualan menunjukkan mereka sekadar menganggap wanita sebagai objek seks, dan melakukan jenayah yang amat serius.

“Hukuman keras tidak dapat dielakkan kerana kerosakan yang timbul tidak dapat dipulihkan dan mangsa menuntut hukuman berat,” kata Hakim Kang Seong-soo, ketika menjatuhkan hukuman.

Jung mengaku mengedarkan video dan rakaman lain yang diambil, walaupun berkata hubungan seksual berdasarkan suka sama suka.

Choi menafikan beliau merogol wanita berkenaan, berkata tidak ingat mengadakan hubungan seks dengan mangsa dan jika berlaku, ia adalah dengan kerelaan.

Kes mereka adalah antara beberapa skandal membabitkan jenayah seks dan aktiviti haram lain yang mendedahkan sisi gelap industri di tengah kegilaan dunia terhadap K-pop.

Bekas anggota kumpulan Big Bang, Seungri, juga dibicarakan berhubung tuduhan beliau melanggan pelacur untuk ahli perniagaan luar untuk meningkatkan pelaburan dalam perniagaannya. — Reuters

Berita Harian X