Khamis, 28 November 2019 | 7:47pm

Israel silap hantar mesej

BAITULMAQDIS: Duta Israel tersilap menghantar mesej ‘Semoga berjaya’ kepada Myanmar menjelang sesi pendengaran tuduhan ia melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Islam Rohingya di Mahkamah Dunia, kata Kementerian Luar Israel hari ini.

Akhbar Haaretz melaporkan, duta wilayah itu ke Myanmar mengucapkan selamat berjaya dalam tweet yang sudah dipadamkan menjelang sesi pendengaran bulan hadapan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.

“Tweet duta adalah satu kesilapan dan dipinda serta-merta.

“Israel dengan jelas mengutuk kezaliman dilakukan ke atas Rohingya di Rakhine.

“Seminggu lalu, Israel mengundi menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk kekejaman itu,” kata kementerian dalam kenyataan.

Lebih 730,000 etnik Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak kezaliman dilakukan tentera Myanmar pada 2017, yang dikatakan penyiasat PBB dilakukan dengan niat membunuh beramai-ramai.

Myanmar menafikan tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Ketua umum Myanmar, Aung San Suu Kyi, akan mengetahui delegasi mempertahankan diri daripada tuduhan yang dibawakan Gambia itu di ICJ, yang mendapat sokongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Duta Israel ke Myanmar, Ronen Gilor, dalam akaun Twitter berkata ‘Menyokong keputusan yang baik dan selamat berjaya!’, dalam satu siaran, lapor Haaretz.

Satu lagi tweet berbunyi: “Ketua Umum akan memberi tindak balas kepada Myanmar di ICJ! Selamat Berjaya!” — Reuters

Berita Harian X