Ahad, 24 November 2019 | 9:48am

Iraq arah tutup 9 saluran televisyen

BAGHDAD: Suruhanjaya Komunikasi dan Media Iraq (CMC) memberi amaran kepada lima saluran televisyen dan menutup sembilan lagi kerana melanggar artikel peraturan pelesenan media, apabila menyiarkan kandungan menghasut keganasan ketika membuat liputan mengenai demonstrasi, kata pemerhati semalam.

Ibu kota Iraq ini dan sembilan wilayah di selatan yang dikuasai puak Syiah menyaksikan demonstrasi anti-kerajaan sejak 1 Oktober lalu.

Lebih 350 penunjuk perasaan maut dan 16,000 lagi cedera, selepas pasukan keselamatan mula menggunakan peluru hidup dan gas pemedih mata.

Media tempatan dan asing memainkan peranan penting dalam mendokumenkan dan mendedahkan penderaan dialami penunjuk perasaan, walaupun pihak berkuasa menyekat internet selama dua minggu di ibu kota ini dan beberapa wilayah di selatan.

Landasan media sosial juga ditapis selama lebih sebulan.

Perdana Menteri Iraq, Adel Abdul Mahdi, dan sekutunya percaya beberapa media berusaha mengekal pergerakan bantahan dan menghasut penunjuk perasaan menentang kerajaan.

Penyingkiran kerajaan dan mengadakan pilihan raya Parlimen lebih awal dengan meminda undang-undang pilihan raya, adalah antara tuntutan utama penunjuk perasaan.

CMC adalah pertubuhan yang bertanggungjawab menyelia media dan komunikasi di Iraq.

Ia ditubuhkan pada 2004 dan, menurut Perlembagaan Iraq, ia adalah badan bebas yang tiada kaitan dengan kerajaan.

Bagaimanapun, majoriti keputusan badan itu menunjukkan kebergantungan penuh kepada kerajaan, kata pemerhati.

Menurut sumber, CMC memaksa syarikat internet dan telefon bimbit memutuskan hubungan dengan pelanggan di kawasan tunjuk perasaan dan menyekat rangkaian sosial.

Keputusan terbaru CMC menyaksikan penutupan sembilan saluran televisyen tempatan dan Arab dan memberi amaran kepada lima lagi kerana melanggar peraturan pelesenan media. - Agensi

Berita Harian X