Selasa, 19 November 2019 | 10:07am
PERUSUH memakai topeng ketika bertempur dengan polis di Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU). - Foto Reuters

Mahkamah Hong Kong tiada hak buat keputusan - China

SHANGHAI: Badan perundangan tinggi China berkata, mahkamah Hong Kong tidak mempunyai kuasa membuat keputusan ke atas undang-undang Perlembagaan menurut Undang-Undang Asas bandar raya itu, termasuk cadangan larangan terhadap topeng muka, lapor Xinhua hari ini.

Kenyataan dikeluarkan sehari selepas Mahkamah Tinggi Hong Kong memutuskan larangan ke atas pemakaian topeng muka ketika demonstrasi umum yang menggegarkan hab kewangan itu lebih lima bulan lalu adalah melanggar Perlembagaan.

“Sama ada undang-undang Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong mematuhi Undang-Undang Asas Hong Kong cuma boleh dinilai oleh Jawatankuasa Tetap Kongres Kebangsaan Rakyat.

“Tiada pihak berkuasa lain mempunyai hak membuat penghakiman dan keputusan,” kata jurucakap Suruhanjaya Perhubungan Undang-undang Jawatankuasa Tetap Kongres Kebangsaan Rakyat, Yan Tanwei.

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, mengusulkan rang larangan memakai topeng muka ketika tunjuk perasaan prodemokrasi semakin memuncak.

Penunjuk perasaan menggunakan topeng untuk menyembunyikan identiti di tempat awam.

Usul itu dikritik hebat oleh penyokong pergerakan antikerajaan, yang berkata ia memberi risiko kepada penunjuk perasaan.

Mahkamah Hong Kong, semalam memutuskan undang-undang darurat era penjajahan itu, yang dihidupkan semula untuk mewajarkan larangan memakai topeng, tidak mematuhi Undang-Undang Asas, Perlembagaan kecil yang menjadi asas kepada pemulangan Hong Kong kepada China pada 1997. — Reuters

Berita Harian X