Selasa, 19 November 2019 | 7:17am
Pasukan penyelamat berupaya menggali untuk mengeluarkan anggota dari runtuhan Glasier Siachen dan mangsa dibawa ke hospital menggunakan helikopter. -Foto Agensi

6 maut, runtuhan salji di Himalaya

SRINAGAR: Satu runtuhan salji menimbus peronda India di zon tentera tertinggi dunia di pergunungan Himalaya, mengorbankan empat askar dan dua porter, kata seorang jurucakap tentera.

Bencana itu adalah yang terbaharu berlaku di Glasier Siachen pada ketinggian lebih 5,000 meter yang dituntut India dan Pakistan.

Ratusan askar dari kedua-dua pihak maut dalam runtuhan salji serta cuaca melampau di rantau itu sejak tiga dekad lalu.

Seorang jurucakap tentera India berkata, runtuhan salji itu menimbus lapan orang ketika rondaan di bahagian utara glasier itu di pergunungan Karakoram.

Pasukan penyelamat berupaya menggali untuk mengeluarkan anggota dari runtuhan dan mangsa dibawa ke hospital menggunakan helikopter.

“Walaupun kami berusaha, enam kematian membabitkan empat askar dan dua porter orang awam akibat hipotermia ekstrem,” kata jurucakap Kolonel Rajesh Kalia.

Runtuhan salji adalah keadaan biasa di glasier dengan keluasan 700 kilometer persegi itu di mana suhu kerap jatuh ke paras negatif 60 darjah Celsius.

Pada 2016, 10 askar India maut akibat tertimbus. Kira-kira 900 askar India maut di glasier itu sejak 1984 apabila pasukan keselamatan negara itu mengambil alih kawalan penuh Siachen.

Glasier itu terletak di bahagian utara Garisan Kawalan (LoC) yang membahagikan Kashmir, diperjuangkan India dan Pakistan sejak 1947. -AFP

Berita Harian X