Isnin, 18 November 2019 | 8:20am
Gambar dikeluarkan KCNA menunjukkan Jong-un dikelilingi juruterbang unit tentera Pasukan Udara dan Anti-Pesawat negara itu. -Foto AFP
Gambar dikeluarkan KCNA menunjukkan Jong-un dikelilingi juruterbang unit tentera Pasukan Udara dan Anti-Pesawat negara itu. -Foto AFP

AS, Korea Selatan tangguh latihan, Jong-un pantau simulasi tempur

SEOUL: Media Korea Utara melaporkan hari ini, pemimpinnya, Kim Jong-un menyelia latihan tentera udara buat kali kedua dalam tempoh tiga hari, walaupun ketika Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menangguhkan latihan udara bersama bagi memudahkan rundingan gencatan senjata nuklear dengan negara penentang itu.

AS dan Korea Selatan berkata semalam, mereka akan menangguhkan latihan ketenteraan akan datang, dikenali sebagai ‘Combined Flying Training Event’ (Acara Latihan Terbang Gabungan), dalam usaha menyambung rundingan damai terhenti dengan Korea Utara.

Washington menafikan tindakan itu menandakan pihaknya tunduk kepada tekanan Pyongyang.

Latihan ketenteraan itu, sudah dirancang untuk dikurangkan sejak tahun sebelumnya, akan memaparkan senario simulasi tempur udara serta membabitkan sejumlah pesawat perang tidak dinyatakan dari AS dan Korea Selatan bagi menguji tahap kesediaan.

Agensi berita Pyongyang, KCNA berkata, Jong-un menyelia latihan pendaratan udara unit kecil penembak tepat Pasukan Udara dan Anti-Pesawat tentera negara itu.

“Jong-un berkata, adalah penting melancarkan latihan ketenteraan tanpa notis mengikut situasi simulasi perang sebenar bagi memperbaiki tahap persediaan unit tentera Korea Utara,” kata KCNA memetik kata-kata pemimpinnya.

Sabtu lalu, KCNA melaporkan, Jong-un menyaksikan satu ‘pertandingan penerbangan tempur’ pegawai penerbangan pasukan berkenaan. Gambar dalam akhbar kerajaan Rodong Sinmun menunjukkan beliau tersenyum dikelilingi juruterbang.

Presiden AS Donald Trump berkata semalam memberitahu Jong-un; “Anda sepatutnya bertindak segera, selesaikan perjanjian dengan AS,” dan memberi ucapan ‘Jumpa anda tidak lama lagi!” di Twitter. -Reuters

Berita Harian X