Jumaat, 15 November 2019 | 11:37am
CALON presiden Democrat, Joe Biden. - Foto AFP

Korea Utara gelar Biden 'anjing rabun'

SEOUL: Korea Utara melancarkan serangan lisan amat keras terhadap calon presiden Democrat, Joe Biden, menggelar bekas Naib Presiden Amerika Syarikat itu sebagai ‘anjing rabun’, meminjam istilah yang pernah digunakan Presiden Donald Trump.

Pyongyang dikenali kerana kritikan keras, tetapi keceluparan itu adalah luar biasa malah bagi piawaiannya sendiri.

“Biden berani memfitnah harga diri kepemimpinan agung DPRK.

“Anjing rabun seperti Biden boleh mencederakan ramai orang jika dibiarkan berkeliaran.

“Ia patut dipukul hingga mati dengan kayu. Ia juga akan memberi faedah kepada Amerika Syarikat,” kata agensi berita KCNA lewat semalam, merujuk kepada nama rasmi Korea Utara.

Tidak jelas apa yang mencetuskan kemarahan Pyongyang tetapi kempen Biden menyiarkan iklan minggu ini mengutuk dasar luar Trump, berkata ‘diktator dan si zalim dipuji’, sekutu diketepikan’.

Pencerita dalam iklan itu menyebut perkataan ‘si zalim’ tepat ketika gambar memaparkan Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, berjabat tangan pada pertemuan mereka di Singapura tahun lalu.

KCNA memetik salah satu penghinaan yang suka digunakan Trump untuk Biden, ‘Sleepy Joe’, apabila berkata rakyat AS menggelarnya ‘Biden yang tidak bangun daripada tidur’.

Biden sudah menunjukkan petanda tahap akhir nyanyuk, kata KCNA.

“Sudah tiba masanya untuk beliau meninggalkan kehidupannya,” kata agensi berita itu.

KCNA mengeja nama Biden sebagai Baiden sepanjang laporan, mencerminkan ejaan yang digunakan dalam huruf Korea Utara.

Ini bukan kali pertama Korea Utara mengutuk Biden.

Mei lalu, ia menggelar beliau sebagai ‘bodoh’, ‘IQ rendah’, beberapa hari selepas beliau menggelar Jong-un diktator dan si zalim. — AFP

Berita Harian X