Isnin, 11 November 2019 | 8:39am

3 maut ditembak pihak berkuasa Iraq

BAGHDAD: Pihak berkuasa Iraq menembak mati tiga penunjuk perasaan antikerajaan manakala 100 lagi cedera di selatan bandar Nassiriya semalam, kata polis.

Sumber berkata, penunjuk perasaan mula berhimpun di jambatan utama bandar itu memaksa pasukan keselamatan menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan mereka.

Pihak berkuasa turut melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di Baghdad mencederakan lebih 20 orang.

Sehari sebelum itu seorang penunjuk perasaan mati di hospital dalam tunjuk perasaan di lokasi sama, kata pegawai perubatan.

Pertempuran dengan penunjuk perasaan tercetus di Baghdad sejak 1 Oktober lalu akibat kurangnya peluang pekerjaan dan perkhidmatan yang kini merebak ke Baghdad dan sebahagian besar selatan Iraq.

Kerajaan Perdana Menteri, Adel Abdul Mahdi sudah mengambil beberapa langkah perlu untuk meredakan kekacauan termasuk mengedarkan pekeliling dan membuka peluang pekerjaan kepada graduan universiti.

Namun, ia masih gagal memenuhi tuntutan penunjuk perasaan yang semakin memuncak. Penunjuk perasaan turut mendesak pemulihan dalam sistem politik Iraq dan pengunduran seluruh pemerintah elit.

Menurut Reuters sehingga kini, lebih 280 orang terbunuh dalam kekacauan yang tercetus di Iraq sejak awal Oktober lalu. - Reuters

Berita Harian X