Sabtu, 9 November 2019 | 7:57am
ANGGOTA bomba memadam kebakaran hutan di Railway Parade, Woodford NSW. - Foto Reuters

1 maut, 100 rumah musnah kebakaran hutan di Australia

MELBOURNE: Seorang ditemui meninggal dunia dan sekurang-kurangnya 100 rumah musnah ketika kebakaran hutan semakin marak di seluruh timur Australia, kata pihak berkuasa hari ini.

Perkhidmatan Bomba Pedalaman New South Wales (NSW RFS), awal hari ini berkata anggotanya menemui satu mayat dalam kenderaan dan dua lagi masih hilang.

Pesuruhjaya NSW RFS, Shane

Fitzsimmons memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) mereka menjangkakan keadaan lebih bahaya hari ini.

“Saya menjangka akan melihat tahap amaran berubah sepanjang hari, kemungkinan lebih buruk, apabila angin pada tengah hari semakin kencang dan corak api yang merebak,” kata Fitzsimmons kepada ABC.


HELIKOPTER memadam kebakaran hutan di Harrington, Australia. - Foto Reuters

Ini adalah antara musim kebakaran hutan paling buruk di Australia, dengan beberapa bahagian negara itu berhadapan kemarau paling teruk dalam sejarah.

Semalam, pasukan bomba NSW mengeluarkan banyak amaran kecemasan, dengan 17 kebakaran diisytiharkan berada pada paras kecemasan ketika angin kencang dan keadaan kering menyaksikan api merebak pantas.

Pagi ini, ada enam kebakaran tahap kecemasan berlaku di NSW, dengan lebih 70 bencan itu dilaporkan di seluruh negeri berkenaan secara keseluruhan.

Sementara di Queensland, ribuan penduduk dari wilayah Sunshine Coast bermalam di pusat pemindahan, selepas pasukan mengarahkan mereka berpindah. — Reuters

Berita Harian X