Isnin, 4 November 2019 | 10:43am
KEADAAN bangunan agensi berita Xinhua yang dirosakkan perusuh di Hong Kong. - Foto Reuters
KEADAAN bangunan agensi berita Xinhua yang dirosakkan perusuh di Hong Kong. - Foto Reuters

Tindakan lebih tegas di Hong Kong susulan serangan Xinhua: Media China

SHANGHAI: Media rasmi China, hari ini menggesa pihak berkuasa untuk mengenakan tindakan lebih tegas terhadap penunjuk perasaan di Hong Kong yang merosakkan agensi berita Xinhua dan beberapa premis lain pada hujung minggu lalu.

Akhbar China Daily yang disokong China, lantang mengkritik serangan penunjuk perasaan itu sebagai semberono dalam ruangan editorialnya.

“Mereka akan gagal hanya kerana keganasan yang dilakukan tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang,” kata akhbar itu.

Pada Sabtu lalu, polis melepaskan gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan berpakaian serba hitam, antara keganasan paling teruk di pusat kewangan Asia itu sejak beberapa bulan lalu.

Penunjuk perasaan dilapor membakar stesen metro dan merosakkan bangunan perniagaan termasuk rangkaian kedai kopi Amerika Syarikat (AS), Starbucks.

Protes antikerajaan di bekas tanah jajahan British yang tercetus sejak lima bulan lalu itu, ternyata cabaran terbesar kepada pemerintahan Presiden Xi Jinping sejak mengambil alih kepimpinan China pada akhir 2012.

Penunjuk perasaan dikatakan berang dengan campur tangan China terhadap kebebasan Hong Kong, termasuk sistem perundangannya, sejak pusat kewangan Asia itu dikembalikan kepada China pada 1997. China menafikan tuduhan itu.

Akhbar tabloid terkemuka, Global Times, semalam mengutuk tindakan penunjuk perasaan yang menyasar Xinhua dan meminta agensi penguat kuasa Hong Kong bertindak lebih tegas.

“Oleh kerana imej simbolik Xinhua, perbuatan merosakkan cawangannya, yang menjadi tujuan utama perusuh, bukan sahaja mencabar kedaulatan undang-undang di Hong Kong, tetapi juga pemerintah pusat dan tanah besar China,” katanya.

Selepas pertemuan kepimpinan tertinggi China Jumaat lalu, seorang pegawai kanan China berkata ia tidak akan bertolak ansur dengan kumpulan pemisah atau ancaman terhadap keselamatan negara di Hong Kong dan akan memperkemaskan lagi cara ia melantik pemimpin di kota itu. - Reuters

Berita Harian X