Khamis, 31 Oktober 2019 | 5:00pm
Gambar diambil dan dikeluarkan oleh Biro Maklumat Press India memaparkan Perdana Menteri India Narendra Modi (di atas pentas, kiri) menyaksikan perarakan sempena Rashtriya Ekta Diwas, atau Hari Perpaduan Nasional, berhampiran Patung Perpaduan yang mewakili timbalan pertama Perdana Menteri Sardar Vallabhbhai Patel, di Kevadiya di negeri barat Gujarat. - Foto AFP

Status negeri Kashmir terhapus mulai hari ini

SRINAGAR: Wilayah majoriti Muslim India, Kashmir dipecahkan secara rasmi hari ini, tiga bulan selepas hilang kuasa autonomi dalam tindakan yang mencetuskan keganasan dan ketegangan dengan negara jiran seterunya, Pakistan.

Bercakap di sebelah tugu wira kemerdekaan, Sardar Vallabhbhai Patel di negeri asalnya di Gujarat, Perdana Menteri Narendra Modi memaklumkan, masa depan wilayah Himalaya itu cerah.

“Kashmir adalah satu-satunya tempat di mana insiden keganasan mengorbankan 40,000 orang sejak tiga dekad lalu. Begitu ramai ibu kehilangan anak. Untuk berapa lama lagi kita patut membiarkan mangsa tidak bersalah mati?

“Kita gembira Jammu dan Kashmir dan Ladakh mara ke masa depan baharu mulai hari ini. Ladakh dan Jammu dan Kashmir mengorak langkah hari ini untuk masa depan mereka,” kata Modi.

Kashmir terpisah antara India dan Pakistan sejak 1947 dan mencetuskan dua perang serta banyak ketegangan antara kedua-dua negara berjiran kuasa nuklear itu terbaharu pada Februari lalu, selepas kedua-dua pihak saling melakukan serangan udara.

Awal Ogos lalu, kerajaan nasionalis Hindu Modi melucutkan status khas Kashmir dalam perlembagaan dan menahan ribuan penduduk termasuk semua pemimpin politik tempatan selain memutuskan komunikasi. - AFP

Berita Harian X