Khamis, 31 Oktober 2019 | 11:51am
KETUA Penapisan New Zealand hari ini mengarahkan pengharaman permainan video yang menyanjung kes tembakan beramai-ramai di Christchurch.
KETUA Penapisan New Zealand hari ini mengarahkan pengharaman permainan video yang menyanjung kes tembakan beramai-ramai di Christchurch.

New Zealand haram permainan video agungkan kes tembakan masjid

WELLINGTON: Ketua Penapisan New Zealand hari ini mengarahkan pengharaman permainan video yang menyanjung kes tembakan beramai-ramai di Christchurch awal tahun ini yang mengorbankan 51 jemaah dua masjid.

Dalam serangan yang disiarkan secara langsung di Facebook, seorang penyerang dengan senjata separuh automatik mensasarkan penduduk Islam yang hadir untuk solat Jumaat di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac lalu, mengorbankan 51 orang dan mencederakan puluhan lagi.

Pelampau kulit putih Australia, Brenton Tarrant, didakwa dengan serangan itu dan akan dibicarakan tahun hadapan.

Ketua Penapisan David Shanks, berkata, permainan video yang meraikan siaran langsung kes tembakan itu dikelaskan sebagai tidak menyenangkan.

“Pencipta permainan ini menerbitkan dan menjual permainan yang direka menempatkan pemain berperanan pengganas kulit putih sebagai pembunuh.

“Dalam permainan itu, sesiapa sahaja yang bukan lelaki kulit putih heteroseksual adalah sasaran cuma kerana mereka wujud,” kata Shanks dalam kenyataan.

Shanks sebelum ini mengharamkan video secara langsung serangan itu, dan manifesto yang dikaitkan dengan pengganas berkenaan.

Awal bulan ini, lembaga penapisan juga mengharamkan video satu lagi serangan penyerang anti-Semitik selama 35 minit yang membunuh dua orang di Halle, Jerman. — Reuters

Berita Harian X