Rabu, 30 Oktober 2019 | 5:31pm

India teruskan pemisahan wilayah Jammu dan Kashmir

SRINAGAR: India akan memisahkan wilayah dipertikaikan Jammu dan Kashmir kepada dua wilayah persekutuan secara rasmi, esok, untuk menguatkan cengkaman ke atas wilayah terpencil itu yang menyaksikan operasi keselamatan kejam selama tiga bulan.

Seorang bekas birokrat yang pernah berkhidmat di Kashmir dan berkunjung ke wilayah itu, bulan lalu, Wajahat Habibullah berkata, warga Kashmir merasa hina hilang negeri sendiri.

“Berdasarkan dasar-dasar terdahulu kerajaan lalu, mereka sekurang-kurangnya mempunyai sesuatu milik sendiri. Kini, mereka merasakan kehilangan semua kebebasan yang ada,” katanya.

Esok, seorang bekas birokrat di negeri Gujerat, negeri asal Perdana Menteri India, Narendra Modi akan mengangkat sumpah sebagai leftenan gabenor pertama wilayah kesatuan Jammu dan Kashmir, menurut kerajaan.

Seorang lagi bekas penjawat awam, Radha Karishna Mathur akan menjadi leftenan gabenor Ladakh, wilayah majoriti penganut Buddha yang sudah lama mahu berpisah dari Kashmir.

Pentadbiran Modi berharap meningkatkan pelaburan pelancongan dan infrastruktur di Ladakh yang terkenal dengan banyak puncak gunung dilitupi salji.

Ogos lalu, kerajaan nasionalis Hindu Modi menarik balik kuasa autonomi Kashmir dan mengumumkan pembahagian wilayah itu kepada dua wilayah yang akan diperintah secara langsung New Delhi. - Reuters

Berita Harian X