Sabtu, 26 Oktober 2019 | 5:36pm
Anggota kumpulan K-pop Big Bang, G-Dragon tamat menjalani latihan tentera wajib di Yongin, Korea Selatan hari ini. -Foto Reuters

G-Dragon dirai peminat selepas tamat latihan wajib tentera

YONGIN: Peminat kumpulan K-pop terkenal Big Bang berkumpul hari ini untuk meraikan kepulangan pemimpin kumpulan itu, G-Dragon kepada kehidupan asal selepas selesai menjalani khidmat wajib tentera di Korea Selatan.

G-Dragon, 31, atau nama sebenarnya Kwon Ji-yong, selesai menjalani hampir dua tahun khidmat wajib tentera di ibu pejabat Pusat Operasi Darat Tentera Korea di sini, tenggara ibu kota Seoul.

Penyanyi itu pada awalnya dijadualkan dibenarkan keluar dari sebuah pangkalan berhampiran sempadan dengan Korea Utara, kawasan di mana pihak berkuasa berusaha membendung penularan wabak selesema babi Afrika, yang menjejaskan babi namun pertukaran itu dibuat bagi membendung kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

G-Dragon sudah menjalani latihan tentera, kira-kira setahun lapan bulan diwajibkan ke atas semua lelaki di Korea Selatan, yang secara teknikalnya masih berperang dengan Korea Utara.

Kira-kira 500 peminat China, Jepun dan negara Asia lain, sesetengah menunggu di luar pangkalan tentera semalaman dalam cuaca sejuk, bersorak sebaik melihat G-Dragon muncul dari bangunan sekitar jam 8 pagi.

Peminat G-Dragon berkumpul di luar pangkalan tentera di Yongin, Korea Selatan hari ini. -Foto Reuters

“Terima kasih kerana menunggu. Saya akan kembali bertugas seperti sedia kala,” kata penyanyi itu yang memakai seragam coklat gelap tentera dan beret.

Selepas membuat ucapan ringkas, beliau memasuki sebuah van hitam dan beredar sambil peminat mengambil gambar, melambai dan mengekori van terbabit. Beliau kemudian mengadakan satu acara berhampiran disertai 3,000 peminat.

Pada awalnya kumpulan dengan lima anggota selepas muncul pada 2006, Big Bang sering mengungguli carta muzik dan mempunyai ramai peminat sebelum anggotanya mula menjalani latihan wajib tentera pada 2017.

Anggotanya, Seungri, meninggalkan kumpulan itu dan bersara daripada industri muzik pada Mac lalu selepas dituduh terbabit dalam skandal seks. -Reuters

Anggota kumpulan Big Bang dari kiri Seungri (Lee Seung-hyun), T.O.P (Choi Seung-hyun), Taeyang (Dong Young-bae), G-Dragon (Kwon Ji-yong) dan Daesung (Kang Dae-sung). -Foto Agensi

Berita Harian X