Jumaat, 25 Oktober 2019 | 7:22pm
Insiden bunuh diri Sulli menyebabkan gesaan mengekang pembuli siber terhadap ramai bintang K-pop. -Foto Reuters

Daum tutup ruangan komen susulan kematian Sulli

SEOUL: Portal terkenal Korea Selatan, Daum akan menutup ruangan komennya untuk berita hiburan secara seketika, kata pengendali Kakao Corp hari ini susulan kematian bintang K-pop, Sulli yang berjuang menentang pembuli siber.

Sulli, bekas anggota kumpulan wanita K-pop f(x), yang secara lantang menentang pembuli siber, ditemui mati pada 14 Oktober lalu pada usia 25 tahun akibat bunuh diri, sementara polis mengatakan selebriti itu menderita akibat kemurungan melampau.

Insiden bunuh diri itu menyebabkan gesaan mengekang pembuli siber terhadap ramai bintang K-pop.

“Ramai bersetuju bahawa tahap penghinaan yang dibuat menerusi komen bahagian berita hiburan mencapai tahap yang menjejaskan kesihatan umum,” kata pegawai Kakao Corp dalam kenyataan memetik ‘berita sedih baru-baru ini.’

Katanya, keputusan menutup ruangan komen itu yang berkuat kuasa bulan ini adalah sebahagian usaha sekian lama Kakao untuk mencegah komen tidak dapat diterima seperti pernyataan kebencian. -Reuters

Berita Harian X