Jumaat, 25 Oktober 2019 | 11:58am
POLIS British masih belum mengesahkan jika 39 individu yang ditemui mati dalam sebuah trak berhampiran London adalah warga negara China

Kerakyatan 39 individu maut dalam trak masih belum disahkan - Beijing

BEIJING: Polis British masih belum mengesahkan jika 39 individu yang ditemui mati dalam sebuah trak berhampiran London adalah warga negara China, kata Kementerian Luar China hari ini.

Seorang pegawai konsulat China melakukan perjalanan ke Essex, semalam, sehari selepas pekerja kecemasan menemui puluhan mayat dalam sebuah kontena sejuk di sebuah kenderaan yang diletak di kawasan perindustrian.

Polis United Kingdom percaya kesemua mereka adalah rakyat China manakala trak berkenaan tiba dari Belgium dengan menaiki feri.

“Polis British berkata mereka sedang mengenal pasti identiti mangsa dan tidak boleh mengesahkan jika mereka adalah rakyat China,” kata kementerian luar China dalam satu kenyataan.

Pegawai konsular China, Tong Xuejun memberitahu stesen penyiaran tempatan, CCTV pada Khamis bahawa beliau akan mengadakan pertemuan bersama polis British.

“Kami menggesa polis British untuk menyelidik perkara sebenar. Kami akan memberi semua maklumat diperlukan kepada pihak media berhubung perkembangan terkini insiden terbabit,” katanya.

Pasukan polis tempatan yang menahan pemandu lori atas tuduhan membunuh berkata, lapan daripada mayat adalah wanita manakala selebihnya ialah lelaki.

Ia adalah siasatan pembunuhan terbesar di Britain dalam tempoh lebih sedekad.

Kematian itu menyamai insiden kematian 58 pendatang China yang disembunyikan dalam sebuah trak Belanda di pelabuhan Dover pada 2000.

Hanya dua mangsa terselamat ketika itu. - AFP

Berita Harian X