Rabu, 23 Oktober 2019 | 9:00pm

Tunai impian terakhir, lelaki kahwini mayat tunang

DALIAN (CHINA) : Seorang lelaki memutuskan untuk mengahwini mayat pasangannya ketika upacara pengebumian wanita berkenaan diadakan, sebagai bukti cinta sejati.

Xu Shinan, 35 yang patah hati apabila teman wanitanya meninggal dunia akibat barah payu dara berharap, perkahwinan itu mampu menyempurnakan impian mendiang untuk bergelar pengantin.

Pada majlis itu, mayat Yang Liu, yang juga teman wanita Xu sejak 12 tahun lalu dipakaikan gaun pengantin berwarna putih dan dikelilingi 169 jambangan ros berwarna merah jambu, manakala Xu membacakan ikrar perkahwinan mereka.

Menurut laporan media tempatan, acara istimewa itu diadakan pagi Sabtu lalu di sebuah pusat pengebumian di Dalian, timur China.

Ia disaksikan ahli keluarga dan rakan-rakan pasangan terbabit.

“Wahai isteriku, janganlah kamu bimbang. Hidup tanpa kamu amat menyedihkan namun saya tidak akan berputus asa,” kata Xu dalam ikrar untuk isterinya.

Yang meninggal dunia pada 14 Oktober lalu ketika usia 34 tahun, selepas bertarung dengan barah selama lima setengah tahun.

Menurut Xu, beliau berada di sebelah mayat Yang selama 24 jam sehari sejak kematiannya, iaitu ritual tradisi bagi masyarakat di China.

“Isteri saya sebelum ini pernah berkata, tiada seorang pun dibenarkan menangis jika beliau meninggal dunia. Saya berusaha menuruti permintaan itu tetapi hari ini, apabila mayatnya dibakar, saya tidak mampu lagi menahan air mata,” katanya.

Kisah cinta luar biasa pasangan berkenaan, yang mula berkenalan ketika menuntut di universiti dipaparkan dalam laporan Dalian Evening News. - Agensi

Berita Harian X