Selasa, 15 Oktober 2019 | 11:01am
Penunjuk perasaan berhimpun di Hong Kong semalam, menggesa ahli politik AS meluluskan rang undang-undang yang boleh mengubah hubungan Washington dengan Hong Kong. -Foto AFP
Penunjuk perasaan berhimpun di Hong Kong semalam, menggesa ahli politik AS meluluskan rang undang-undang yang boleh mengubah hubungan Washington dengan Hong Kong. -Foto AFP

Hong Kong larang penunjuk perasaan hampiri kuarters polis

HONG KONG: Sebuah mahkamah di bandaraya ini meluluskan satu injunksi melarang sesiapa daripada menyekat atau merosakkan kawasan kediaman yang menempatkan pegawai polis berkeluarga dan perkhidmatan awam lain yang menjadi sasaran bantahan anti-kerajaan sejak lebih empat bulan lalu.

Penunjuk perasaan mengepung kuarters polis di tengah keganasan memuncak di bandar ditadbir China itu, membaling bom petrol dan objek lain ke arah bangunan dan merosakkan kemudahan, kata polis dalam satu kenyataan hari ini.

Injunksi itu juga melarang sekatan jalan raya dan mengharamkan penduduk daripada menghalakan pen laser atau lampu picit lain ke kemudahan polis.

Penunjuk perasaan anti-kerajaan, ramai bertopeng dan memakai baju hitam, membaling bom petrol ke arah pejabat polis dan kerajaan pusat, menyerbu Majlis Perundangan (Parlimen), menyekat laluan ke lapangan terbang, merosakkan stesen metro dan membakar jalan raya di hab kewangan Asia itu.

Polis membalas dengan melepaskan gas pemedih mata, meriam air, peluru getah, beg kacang dan beberapa peluru hidup, memberi amaran kepada peserta bantahan sebelum tindakan.

Kerajaan enggan tunduk kepada tuntutan penunjuk perasaan untuk satu siasatan bebas terhadap dakwaan kekejaman polis.

Polis yang memukul penunjuk perasaan dengan cota berkata, mereka sudah menunjukkan kekangan.

Puluhan ribu aktivis prodemokrasi muda merayu bantuan daripada Amerika Syarikat (AS) malam semalam dalam bantahan perundangan pertama sejak undang-undang darurat diperkenalkan awal bulan ini.

Kerajaan Hong Kong dan China berulang kali memberi amaran supaya kerajaan asing tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman wilayah itu atau memburukkan sentimen anti-China. -Reuters

Berita Harian X