Isnin, 14 Oktober 2019 | 8:31am
Polis India berkawal di tapak serangan bom tangan di Srinagar kelmarin. -Foto Reuters

Modi beri jaminan situasi Kashmir kembali normal 4 bulan lagi

NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi semalam berkata, tempoh empat bulan diperlukan untuk Jammu dan Kashmir kembali normal selepas kerajaannya melucutkan status autonomi khas di wilayah itu Ogos lalu serta melaksanakan sekatan tegar.

Dalam satu perhimpunan di negeri barat Maharashtra, Modi berkata, kerajaan sudah mengambil langkah perlu untuk mengekalkan kawalan keselamatan di Jammu dan Kashmir, satu-satunya negeri majoriti Islam India yang turut dituntut Pakistan.

Selain pelucutan peruntukan perlembagaan pada 5 Ogos lalu yang memberi Kashmir autonomi lebih besar berbanding negeri India lain, Modi membanjiri rantau itu dengan tambahan askar dan melaksanakan perintah berkurung untuk mengekang bantahan.

Walaupun kebanyakan sekatan termasuk pergerakan sudah dilonggarkan, rangkaian telefon bimbit dan internet di Lembah Kashmir, menempatkan sekitar tujuh juta penduduk, masih terputus.

Sesetengah jaringan telefon bimbit dijangka dipulihkan hari ini, kata kerajaan Sabtu lalu.

“Saya memberi jaminan, ia tidak akan mengambil masa lebih empat bulan untuk menormalkan situasi sekarang yang sudah wujud di sana selama 40 tahun.

“Jammu Kashmir dan Ladakh bukan setakat hanya sebidang tanah buat kami,” kata Modi dalam perhimpunan merujuk wilayah Buddha terpencil bersempadan China.

Walaupun dikenakan sekatan, penduduk Kashmir tetap mengadakan bantahan jalanan dan banyak kedai serta premis komersial di lembah itu ditutup sebagai bantahan pelucutan status khas berkenaan. -Reuters

Berita Harian X