Rabu, 9 Oktober 2019 | 11:03pm
Rutte (kiri) bersama rakan sejawatannya dari Australia, Morrison berikrar meneruskan pendakwaan jenayah terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang mengorbankan 298 orang walaupun jika mengambil masa lama. -Foto AFP

Belanda, Australia ikrar dakwa penjenayah insiden tembak jatuh MH17

SYDNEY: Australia dan Belanda berkata hari ini, mereka akan meneruskan pendakwaan jenayah terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang mengorbankan 298 orang walaupun jika mengambil masa lama.

Pesawat itu ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, di ruang udara wilayah ditawan pemisah pro-Russia di timur Ukraine ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan kesemua penumpang di dalamnya.

Satu siasatan diketuai Belanda pada Jun lalu mendakwa tiga rakyat Russia dan seorang dari Ukraine atas pembunuhan itu, walaupun suspek kemungkinan dibicara tanpa kehadiran mereka di Belanda.

“Kami tidak akan berhenti sebelum kes mahkamah ditutup dengan cara yang kami rasakan keadilan sudah ditegakkan.

“Ia mungkin mengambil masa lebih lama mengikut kehendak kami,” kata Perdana Menteri Belanda Mark Rutte dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari Australia, Scott Morrison ketika kunjungan ke negara berkenaan.

Majoriti penumpang MH17 adalah rakyat Belanda namun puluhan rakyat Australia juga antara yang terkorban.

“Kami bersedia berganding bahu dan akan terus mendapatkan keadilan berkaitan perkara ini tidak kira berapa lama masa yang diambil dan kami tidak akan berhenti,” kata Morrison.

Pasukan siasatan bersama dibentuk oleh Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine mendapati, pesawat itu ditembak jatuh peluru berpandu buatan Russia.

Waran tangkap antarabangsa sudah dikeluarkan untuk empat suspek, namun pihak berkuasa Belanda berkata, Russia enggan bekerja sama dalam siasatan dan tidak dijangka menyerahkan defendan.

Kementerian Luar Russia menafikan ia tidak bekerja sama namun berkata, siasatan itu bertujuan menjejaskan reputasi Moscow.

Tahun lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin menyifatkan insiden menembak jatuh MH17 ‘satu tragedi dahsyat’ namun berkata, Moscow tidak seharusnya dipersalahkan dan ada penjelasan lain atas apa yang berlaku. -Reuters

Berita Harian X