Rabu, 9 Oktober 2019 | 10:07pm
Penyelidik mendapati, peningkatan penggunaan media sosial di tempat kerja dikaitkan dengan gangguan lebih besar dan prestasi tugas teruk dalam kalangan jururawat. -Foto Agensi

Media sosial alih tumpuan jururawat daripada tugas penting - Kajian

ISLAMABAD: Produktiviti jururawat merudum jika mereka menjadi ‘ketagih’ menggunakan media sosial di tempat kerja, tabiat yang mengganggu daripada melakukan tugas dipertanggungjawab, kata satu kajian.

Penulis bersama kajian, Asad Javed dari Universiti Hazara di Mansehra, Pakistan berkata, jururawat yang memilih menghabiskan masa dengan menggunakan media sosial di tempat kerja menjadi isu serius di hospital dan universiti seluruh negara.

Tabiat itu kerap mencetuskan konflik di kalangan jururawat mengenai tugas penjagaan pesakit serta pergaduhan antara jururawat dan pesakit, katanya.

“Satu daripada alasan penting mengapa kami jalankan penyelidikan ke atas jururawat disebabkan situasi kritikal tugas mereka yang memerlukan perhatian penuh,” kata Javed kepada Reuters Health dalam e-mel.

Untuk menilai hubungan antara media sosial digunakan di tempat kerja, gangguan daripada tugas dan prestasi kerja yang dinilai sendiri, pasukan Javed merekrut jururawat menerusi kumpulan Facebook tahun lalu.

Secara keseluruhan, 461 jururawat di 53 negara melengkapkan tinjauan tanpa nama yang termasuk kenyataan seperti, “Saya hilang tumpuan ketika bertugas apabila mendengar bunyi bip notifikasi dalam aplikasi rangkaian sosial,” yang diberi markah antara 1 hingga 5.

Penyelidik mendapati, peningkatan penggunaan media sosial di tempat kerja dikaitkan dengan gangguan lebih besar dan prestasi tugas teruk.

Bagaimanapun, jururawat yang berupaya mengamalkan pengurusan kendiri dapat menangani keinginan dan memfokuskan tugas, lapor pasukan kajian dalam Journal Of Advance Nursing.

“Jururawat, seperti mana penduduk awam lain, semakin terganggu dengan perhatian dalam media sosial.

“Jururawat menjaga sesetengah individu yang memerlukan penjagaan khas. Apabila menggunakan media sosial, mereka menukar fokus daripada tugas penting dengan cara yang mungkin menjejaskan pesakit, standard tinggi menjadi justifikasi,” kata Cynda Rushton daripada Institut Bioetika Sekolah Kejururawatan Johns Hopkins di Baltimore, Maryland yang tidak terbabit dalam kajian.

Dalam kajian, penyelidik memberi amaran, situasi itu malah lebih teruk di hospital awam di mana jururawat memiliki waktu kerja tidak dijangka dan tidak fleksibel serta beban berat.

Javed berkata, jururawat boleh menukar tabiat jika ia disedarkan menerusi sesi latihan, paparan poster atau campur tangan memberi kesedaran lain oleh pentadbiran hospital. -Reuters

Berita Harian X