Selasa, 8 Oktober 2019 | 3:55pm
Lam memberi amaran, ekonomi Hong Kong terjejas teruk sepanjang empat bulan bantahan ganas. Hab kewangan Asia itu berdepan kemelesetan pertama dalam tempoh sedekad. -Foto AFP

Lam tidak cadang perkenal undang-undang lain ketika darurat

HONG KONG: Pemimpin wilayah ini Carrie Lam berkata hari ini, kerajaan tiada rancangan menggunakan kuasa darurat era penjajah untuk memperkenalkan lebih banyak undang-undang baharu selepas bantahan ganas hujung minggu lalu menyaksikan tentangan meluas larangan pemakaian topeng muka.

Bercakap dalam sidang media mingguan, Lam memberi amaran, ekonomi Hong Kong terjejas teruk sepanjang empat bulan bantahan ganas. Hab kewangan Asia itu berdepan kemelesetan pertama dalam tempoh sedekad.

Walaupun berlaku pertembungan kerap antara penunjuk perasaan dan polis, Lam berkata, bandaraya ini bersedia menguruskan situasi dengan cara tersendiri.

Hanya separuh sistem kereta api metro beroperasi hari ini berikutan vandalisme meluas infrastruktur dan pengguna berdepan barisan panjang di stesen yang dibuka.

Lam memperkenalkan perintah darurat buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun untuk melarang topeng muka, yang digunakan penunjuk perasaan bagi melindungi identiti mereka, namun tindakan itu menaikkan kemarahan penunjuk perasaan dan penduduk di sini.

Sesetengah pelajar sekolah muncul dalam kelas memakai topeng muka menutup mulut dan kira-kira 100 mahasiswa yang memakai topeng muka berkumpul di kampus Universiti Baptis Hong Kong untuk membantah tangkapan terbaharu.

Hari Kebangsaan China pada 1 Oktober biasanya dibanjiri pelawat namun Lam berkata, jumlah pelancong merudum dan impak data ekonomi suku ketiga bandaraya itu sudah pasti ‘amat teruk.’

Beliau merayu kepada pemaju hartanah dan pemilik premis untuk menawarkan pengecualian kepada peniaga yang mana perniagaan mereka terjejas. -Reuters

Berita Harian X