Selasa, 8 Oktober 2019 | 9:07am
HONG Kong mungkin menyekat akses kepada internet dalam usaha mengekang bantahan prodemokrasi. - Foto AFP

Hong Kong mungkin sekat internet bendung bantahan

HONG KONG: Hong Kong mungkin menyekat akses kepada internet dalam usaha mengekang bantahan prodemokrasi selama beberapa bulan yang semakin ganas, kata seorang anggota Kabinet semalam.

Ia diberitahu selepas undang-undang darurat yang melarang penunjuk perasaan memakai topeng mula gagal membendung ketegangan.

Amaran dibuat ketika hab kewangan antarabangsa itu masih tidak berfungsi sepenuhnya susulan bantahan tiga hari yang menyaksikan rangkaian kereta api dan perniagaan dilihat pro-China dirosakkan dengan teruk.

Bantahan yang semakin rancak itu adalah reaksi kepada pengumuman kerajaan Jumaat lalu ia akan menggunakan semula undang-undang zaman penjajah yang tidak digunakan lebih 50 tahun untuk mengharamkan penunjuk perasaan memakai topeng muka.

Ketua Eksekutif bandar raya itu, Carrie Lam, berkata larangan itu perlu bagi membendung ketegangan, yang bermula hampir empat bulan lalu dan menyaksikan jutaan penduduk berkumpul di jalan raya menuntut China tidak lagi mengekang kebebasan mereka.

Ahli politik veteran pro-Beijing, Ip Kwok-him, dan juga anggota Majlis Eksekutif Hong Kong, menyemarakkan kebimbangan apabila berkata kawalan ke atas internet akan diperkenalkan.

“Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengharamkan internet,” katanya.

Ip berkata, internet amat penting kepada penunjuk perasaan, yang tidak mempunyai pemimpin awam dan menggunakan forum atas talian dan aplikasi mesej berkod untuk bergerak.

Namun katanya, kerajaan sedar sekatan itu memberi kesan lain.

“Saya rasa keadaan bagi melaksanakan pengharaman internet tidak akan memberi kesan kepada perniagaan di Hong Kong,” katanya.

Berita Harian X