Isnin, 7 Oktober 2019 | 4:10pm
Penunjuk perasaan melaungkan protes ketika berkumpul di luar Mahkamah Daerah Timur di Hong Kong, hari ini ketika dua individu dihadapkan di mahkamah kerana tidak mengendahkan larangan memakai topeng muka. -Foto AFP

2 individu didakwa di Hong Kong kerana pakai topeng

HONG KONG: Penunjuk perasaan prodemokrasi yang ditahan kerana enggan mematuhi larangan memakai topeng muka hadir di mahkamah hari ini susulan rusuhan ganas hujung minggu lalu yang menyaksikan pertembungan berdarah dengan polis dan vandalisme meluas, melumpuhkan rangkaian kereta api wilayah ditadbir China itu.

Pagi tadi, seorang mahasiswa lelaki dan wanita berusia 38 tahun antara dua individu pertama didakwa memakai topeng ketika penyokong memenuhi mahkamah, ramai memakai penutup muka.

Kedua-duanya didakwa kerana berhimpun secara haram, membawa hukuman penjara tiga tahun dan dengan larangan pemakaian topeng muka yang membawa hukuman maksimum penjara setahun. Kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan.

Di luar mahkamah, penunjuk perasaan berbaris untuk masuk, sesetengah melaungkan slogan seperti ‘Memakai topeng muka bukan satu jenayah’ dan ‘Undang-undang tidak adil.’

Ramai berkata, mereka bimbang larangan topeng muka itu adalah pendahulu bagi tindakan darurat selebihnya.

“Ia adalah satu alasan untuk memperkenalkan undang-undang kuku besi, selepas itu undang-undang tentera,” kata seorang penunjuk perasaan dikenali Lo.

Hab kewangan antarabangsa itu berdepan perhimpunan dan rusuhan tiga hari berturut-turut selepas pemimpin pro-Beijing melaksanakan kuasa darurat era penjajah untuk melarang pemakaian topeng muka ketika protes.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata, langkah itu perlu untuk membendung perhimpunan prodemokrasi besar dan ganas namun ia tidak menghentikan huru-hara atau menghalang penunjuk perasaan bertopeng daripada berarak di jalanan sebagai bantahan tindakan dianggap kuku besi. -AFP

Berita Harian X