Ahad, 6 Oktober 2019 | 3:33pm
Arab Saudi membuka pintu kepada pelancong asing dari 49 negara minggu lalu ketika ia cuba menumbuhkan sektor berkenaan dan mempelbagaikan ekonominya selain eksport minyak. -Foto Agensi

Arab Saudi benar wanita, lelaki asing kongsi hotel

RIYADH: Arab Saudi membenarkan lelaki dan wanita warga asing menyewa bilik hotel bersama tanpa membuktikan mereka mempunyai hubungan, selepas pentadbiran diraja konservatif itu melancarkan pelaksanaan visa baharu untuk menarik pelancong.

Wanita termasuk warga tempatan, juga dibenarkan menyewa bilik hotel bersendirian, dalam perubahan terhadap peraturan sebelumnya.

Tindakan itu jelas memberi laluan kepada wanita yang tidak ditemani untuk melancong lebih mudah dan bagi pelawat asing tidak berkahwin untuk tinggal bersama di negara Teluk itu.

Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi mengesahkan dalam satu laporan kelmarin oleh akhbar bahasa Arab, Okaz sambil menambah: “Semua rakyat Arab Saudi diminta menunjukkan kad pengenalan keluarga atau bukti hubungan jika mendaftar masuk hotel.

“Perkara ini tidak disyaratkan kepada pelancong asing. Semua wanita termasuk rakyat Arab Saudi boleh menempah dan tinggal di hotel bersendirian, namun perlu menunjukkan kad pengenalan ketika mendaftar masuk.”

Arab Saudi membuka pintu kepada pelancong asing dari 49 negara minggu lalu ketika ia cuba menumbuhkan sektor berkenaan dan mempelbagaikan ekonominya selain eksport minyak.

Sebagai sebahagian langkah itu, ia mengeluarkan arahan bahawa pelancong tidak perlu memakai jubah hitam keseluruhannya namun sopan. Alkohol masih dilarang. -Reuters

Berita Harian X