Ahad, 6 Oktober 2019 | 2:18pm
Anggota polis cuba menahan pasangan remaja di tengah bandar di Hong Kong. Ribuan penunjuk perasaan terus berarak dan memprotes di beberapa lokasi semalam, sehari selepas pemimpin Hong Kong menguatkuasakan larangan memakai topeng muka ketika berpiket. - Foto AFP

Hong Kong terus dibelenggu tunjuk perasaan

HONG KONG: Kebanyakan perkhidmatan kereta api bawah tanah (subway) di kota ini masih ditutup selepas aktivis prodemokrasi berikrar untuk terus memprotes dan pembangkang cuba mencabar larangan memakai topeng muka ketika tunjuk perasaan.

Ribuan penunjuk perasaan terus berarak dan memprotes di beberapa lokasi semalam, sehari selepas pemimpin Hong Kong menguatkuasakan larangan memakai topeng muka ketika berpiket.

Undang-undang berkenaan yang tidak dikuatkuasa selama 52 tahun, dilaksanakan bertujuan membendung rusuhan yang berlaku selama berbulan-bulan di bandar raya itu.

Sebaliknya, ia terus mencetuskan pertempuran dan perhimpunan serta bantahan di seluruh Hong Kong.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, berkata arahan itu dikeluarkan mengikut Ordinan Peraturan Darurat, yang membenarkannya melangkaui badan perundangan.

Ia juga membolehkan Lam menggubal sebarang undang-undang, sepanjang tempoh darurat atau ketika berlaku ancaman terhadap kepentingan awam.

Pengendali ‘subway’ berkata 45 stesen sudah dibuka namun 48 lagi masih ditutup, kebanyakannya di pusat bandar yang menjadi lokasi tumpuan pelancong.

Forum dalam talian yang digunakan pergerakan prodemokrasi turut mengajak penunjuk perasaan mengadakan protes di Victoria Park, lewat hari ini. - AFP

Berita Harian X