Jumaat, 4 Oktober 2019 | 11:01am
Penunjuk perasaan menendang kenderaan polis ketika demonstrasi di stesen Taikoo di Hong Kong. Foto Reuters

Hong Kong bakal perkenal undang-undang darurat

HONG KONG: Kerajaan Hong Kong dijangka mengadakan perbincangan hari ini, bagi memperkenalkan undang-undang darurat, termasuk melarang penggunaan topeng muka ketika protes.

Menurut sumber, tindakan yang tidak pernah diambil sebelum ini, bertujuan mengurangkan tekanan susulan insiden keganasan, yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Demonstrasi bakal diadakan hari ini, bagi membantah undang-undang larangan memakai topeng muka, selain beberapa protes lain pada hujung minggu ini, ketika aktivis mengecam tindakan polis menembak pelajar sekolah menengah, pada Selasa lalu.

Pelajar itu adalah peserta protes pertama yang ditembak dengan peluru hidup, selepas insiden keganasan berlarutan selama beberapa bulan, dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil di hospital.

Dalam pada itu, penguatkuasaan undang-undang darurat akan membolehkan pemimpin Hong Kong, Carrie Lam menggubal sebarang peraturan yang dianggap perlu bagi kepentingan orang ramai, termasuk penapisan ke atas media dan kawalan terhadap pengangkutan.

Kerajaan mengambil tindakan itu, selepas aktivis mengadakan protes di seluruh bekas tanah jajahan Britain itu dalam tempoh beberapa bulan lalu, menghalang jalan raya dan merosakkan premis perniagaan serta stesen kereta api bawah tanah. - Reuters

Berita Harian X