Khamis, 3 Oktober 2019 | 7:16am
Penunjuk perasaan berkumpul di dataran Tayaran di Baghdad, Iraq. Foto AFP
Penunjuk perasaan berkumpul di dataran Tayaran di Baghdad, Iraq. Foto AFP

Iraq isytihar perintah berkurung di Baghdad

BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq, Adel Abdul Mahdi, mengumumkan perintah berkurung di Baghdad mulai awal pagi tadi, sehingga tempoh yang diumumkan kelak, selepas protes anti kerajaan sejak dua hari lalu, bertukar menjadi ganas.

“Arahan daripada ketua komander tentera, iaitu semua kenderaan dan individu adalah dilarang sama sekali memasuki Baghdad mulai jam 5 pagi (waktu tempatan) hari ini (Khamis), hingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” kata Adel dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu juga menyebut, semua pengembara menuju ke lapangan terbang Baghdad atau sebaliknya, ambulans, kakitangan kerajaan yang bertugas di hospital, perkhidmatan elektrik dan jabatan bekalan air adalah dikecualikan daripada perintah berkurung berkenaan.

Adel berkata, beliau menyerahkan kepada gabenor untuk membuat keputusan sama ada mengumumkan perintah berkurung di wilayah mereka di Iraq.

Terdahulu, AFP melaporkan sembilan maut dalam tempoh 24 jam, susulan protes di seluruh Iraq hingga memaksa pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata.

Penganjuran demonstrasi itu adalah cabaran terbesar kepada Perdana Menteri Iraq yang membentuk kerajaan setahun lalu.

Protes yang bermula di Baghdad sebelum merebak ke beberapa bandar lain di negara itu, mendesak pihak berkuasa membasmi masalah rasuah, kegagalan perkhidmatan awam dan masalah pengangguran.

Pegawai kesihatan daerah memaklumkan AFP, lima penunjuk perasaan dan seorang pegawai polis mati ditembak di Nasiriyah, bandar di selatan Iraq, semalam.

Ia menjadikan jumlah kematian akibat protes kepada sembilan orang, termasuk seorang penunjuk perasaan yang maut di Nasiriyah pada Selasa lalu, dan dua lagi dalam satu demonstrasi besar-besaran di Baghdad. - Reuters/AFP

Berita Harian X